Ramos, Ramles kembali beraksi

DUA bekas bintang skuad Bujang Senang, Ramos Sari dan Ramles Sari dijangka akan memeriahkan aksi nostalgia persahabatan bola sepak Simanggang yang dijadualkan berlangsung 4.30 petang ini di Padang KPSU Lama Sri Aman.

Setiausaha Persatuan Anak Perantau Simanggang, Awang Putra Yusri Awang Redzuan berkata, peminat tempatan yang berhasrat menatap semula bekas bintang bola sepak Simanggang era 80an hingga 90-an dipelawa datang ke Padang KPSU Lama Sri Aman bagi menyaksikan perlawanan persahabatan itu.

“Perlawanan nostalgia persahabatan bola sepak Simanggang bakal menyaksikan kelibat dua bekas pemain bintang skuad Bujang Senang, Ramos Sari dan Ramles Sari yang juga berasal dari Simanggang serta bintang ternama tempatan Simanggang lain.

“Ini peluang kepada peminat-peminat bola sepak tempatan menyaksikan aksi hebat mereka sekali gus berkesempatan bertemu semula bekas bintang yang pernah memeriahkan suasana kemeriahan pertandingan Liga Simanggang suatu ketika dahulu.

“Saya percaya ramai tidak sabar untuk menyaksikan persembahan hebat bekas bintang-bintang Simanggang beraksi semula di Padang KPSU Lama Sri Aman petang ini,” katanya kepada pemberita semalam.

Awang Putra Yusri berkata, pihaknya yang bekerjasama dengan belia Simanggang telah berhasrat untuk menyatukan semula bekas-bekas pemain bola sepak dari bandar ini dengan mengumpulkan pemain veteran terbabit bagi beraksi dalam perlawanan itu nanti.

“Kehadiran bekas pemain lagenda Simanggang ini bakal mengimbau kembali era kegemilangan bola sepak di Bandar Simanggang yang dikecapi sekitar 90-an.

“Saya percaya kemunculan mereka dapat mengubat kerinduan peminat di daerah ini dengan menyaksikan kelibat mereka di padang petang ini,” ujar Awang Putra Yusri.

Beliau berkata perlawanan tersebut bertujuan untuk mengembalikan nostalgia ‘Main Simanggang’ yang pernah mewarnai senario bola sepak tempatan Sarawak suatu ketika dahulu terutamanya di Bandar Simanggang.

“Perlawanan persahabatan seumpana ‘reunion’ itu bukan sahaja untuk menyatukan bekas-bekas pemain, malah ia adalah juga bertujuan bagi menyatakan rasa terima kasih kepada Kerajaan Sarawak yang mengekalkan Padang KPSU Lama sebagai tempat riadah atau ‘green zone’ Bandar Simanggang,” tegasnya.

Oleh Adi Safarman