Agensi Islam sumbang bantuan golongan terjejas PKP

SUMBANGAN… Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi menyampaikan sumbangan kepada salah seorang penerima pada Majlis Penghargaan Khas Majlis Islam Sarawak (MIS) Bersempena Dengan Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Sarawak 1442H/2020M, semalam.

KUCHING: Agensi Islam di Sarawak tidak terkecuali dalam memberi sumbangan kepada masyarakat sejak dari arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan di seluruh negara.

Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam dan DBKU) Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi berkata, pelaksanaan PKP akibat pandemik Covid-19 memberi kesan begitu serius kepada masyarakat terutamanya golongan B40.

“Agensi-agensi Islam turut merasa bertanggungjawab untuk membantu keluarga yang terjejas akibat pelaksanaan PKP sejak Mac lepas.

“Hasil kerjasama semua pihak, bantuan ini telah memberi impak kepada semua penerima dan mengurangkan bebanan mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penghargaan Khas Majlis Islam Sarawak (MIS) Bersempena Dengan Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Sarawak 1442H/2020M, semalam.

Katanya, sebanyak RM12 juta menerusi dana zakat oleh MIS melalui Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) telah disumbangkan bagi manfaat kepada 55,168 penerima.

“Tabung Haji turut menyumbang sebanyak RM90,000 kepada 300 peniaga kecil dan RM1.38 juta daripada Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) kepada 24,464 orang penerima.

“Manakala, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menyediakan RM780,000 untuk membantu 4,000 penerima,” ujarnya.

Dalam majlis tersebut, seramai 15 orang penerima dari beberapa agensi Islam, masjid, surau, NGO dan pelajar terbaik menerima plak penghargaan.

Turut hadir, Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak, Datu Misnu Taha, Mufti Negeri, Datu Kipli Yassin, Ketua Hakim Syarie, Datu Awang Suhaili Ledi, Pengarah Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) Khalidi Ibrahim dan Pengurus Besar Tabung Baitulmal Sarawak (TBS), Datu Abang Mohd Shibli Abang Nailie.

Oleh Nur Ain Otsman