Tabaloi masih diproses secara tradisional

TABALOI dimasak menggunakan cara tradisional di atas ‘belanga’ bagi menghasilkan produk yang berkualti dan enak.

TABALOI adalah produk tradisional yang cukup terkenal bukan sahaja dalam kalangan penduduk Melanau itu sendiri malah juga bagi masyarakat yang lain.

Ia merupakan makanan ringan ( snek) bagi masyarakat Melanau yang diperbuat daripada tepung sagu, kelapa parut, telur dan gula sebagai bahan utama.

Tabaloi diproses dalam pelbagai rasa secara tradisional, menggunakan ‘belanga’ atau tempat memproses bagi memasak tabaloi dan dibakar menggunakan kayu api.

Suatu ketika dahulu, tabaloi hanya merupakan kuih asli  bagi penduduk Melanau yang dibuat secara kecil-kecilan.

Cara pembuatan juga semuanya manual dengan menggunakan alat-alat tradisional. Oleh itu keluarannya tidak begitu besar dan tiada kawalan mutu yang dititikberatkan sama ada dari segi rasa, bentuk  atau pembungkusan.

Bagi seorang pengusaha tabaloi, Fatimah Sahminan, 57, atau lebih mesra dengan panggilan Abuk Timau di Kampung Tutus Hilir Mukah,  teknik memproses tabaloi dengan ‘belanga’  dan dibakar dengan kayu api  lebih asli bagi menghasilkan rasa yang enak dan rangup.

Katanya teknik mencanai adunan di atas daun pisang juga merupakan faktor utama.  Justeru beliau sendiri  masih menggunakan teknik tradisional atas permintaan pelanggan kerana inginkan rasa tabaloi yang enak dan original.

Menurut Fatimah pusat pemprosesan kilang tabaloi beliau yang terletak di Unit Peladang Kampung Tutus Hulu beroperasi sejak tahun 1990 sehingga sekarang.

Malah katanya, kilang tabaloi ini digunakan oleh ramai penduduk kampung kerana kuih tabaloi merupakan sumber pendapatan sampingan kaum wanita.

Katanya mereka masih menggunakan kilang untuk memproses tabaloi secara tradisonal daripada menggunakan cara moden.

Dalam  sehari mereka menggunakan antara 150 sehingga 180 biji buah kelapa dan antara

30 sehingga 40 kilogram daun pisang sehari bergantung kepada saiz tabaloi yang akan diproses.

Proses pembuatan tabaloi ini juga amat rumit dan perlukan kesabaran.  Ia bermula dengan proses mengupas kelapa, memarut,  mengadun bahan, merata adunan di atas daun pisang yang  digunakan sebagai acuan untuk membuat tabaloi,  memotong tabaloi dalam bentuk  yang dikehendaki,   membakar tabaloi sehingga rangup atau masak sepenuhnya.

Proses membungkus tabaloi sahaja boleh memakan masa selama dua atau tiga jam kerana mereka terpaksa memilih dan menyusun tabaloi di dalam plastik yang disediakan sebelum boleh dipasarkan.

Dari awal hingga akhir, prosesnya boleh memakan masa enam jam sehari bergantung pada suhu api yang digunakan.

 Bagaimanapun perniagaan ini ada pasang surutnya.  Misalnya, ketika musim banjir, pendapatan mereka turut terjejas disebabkan sukar untuk mendapatkan bahan-bahan asas seperti bekalan daun pisang dan kelapa.

 “ Bilangan pekerja juga menjadi masalah kerana pada zaman sekarang tidak ramai yang mahu bekerja di kilang yang panas dan berasap,” kata Fatimah.

Katanya mereka sekeluarga mampu menghasilkan kira-kira 1,000 bungkus tabaloi sahari dan diedarkan di pasar tamu Mukah, pasar tamu Bintulu, pasar tamu Kuching atau dipasarkan secara atas talian.

Fatimah mempunyai lima pekerja untuk membantunya dan menurut Fatimah setiap pengusaha memang mengimpikan untuk memperkembang dan memperluaskan perniagaan dan buat masa ini Fatimah masih memenuhi permintaan di kawasan setempat sahaja.

Fatimah berharap supaya generasi muda dapat menceburi dalam bidang ini dan mengekalkan proses pembuatan tabaloi dengan menggunakan cara tradisional supaya tidak pupus ditelan zaman.

Oleh JIKU JUGUONG