ENAM UNDI LAGI KE ‘RUMAH PUTIH’

Washington: Calon demokrat Joe Biden hanya memerlukan enam lagi undi elektoral untuk memenangi jawatan Presiden Amerika Syarikat (AS) selepas kemenangannya di Michigan, memetik unjuran Fox News lapor Agensi Sputnik.

Biden diramal memperolehi 16 undi elektoral di negeri ini selepas mendahului dengan 49.9 peratus berbanding 48.6 peratus yang diraih Presiden Donald Trump. Sebanyak 99 peratus undi sudah dikira, lapor Fox.

Ia menjadikan Biden hanya memerlukan enam lagi undi daripada 270 yang diperlukan untuk muncul sebagai Presiden AS yang baharu, kata laporan itu.

Keputusan Fox News semalam menunjukkan Biden merapatkan jurang dengan Trump yang mempunyai kelebihan 50.9 – 47.9 peratus.

Sebanyak 20 undi elektoral Pennsylvania boleh menjadi penentu, yang dimenangi Trump dengan 44,000 undi pada 2016. Pennsylvania mempunyai dua kumpulan besar, Philadelphia dan Pittsburgh dengan pelbagai populasi yang menyokong Demokrat dan kawasan kelas pekerja kulit putih pinggir bandar yang pernah menjadi kawasan Trump.

Biden berkata negeri yang dikuasainya sudah cukup untuk membolehkannya memenangi pilihan raya AS kali ini.

“Sekarang, selepas sekian lama pengiraan, sudah jelas kita (akan) mempunyai jumlah negeri yang cukup untuk (menang) dengan 270 undi elektoral yang diperlukan,” kata Biden kepada wartawan.

Pencabar dari Demokrat itu yakin kempennya akan melakar kejayaan.

Biden berkata “Saya dan gandingan saya Kamala Harris berada di landasan yang tepat untuk memecahkan rekod undi popular di AS.” 

Beliau turut optimis dapat mengatasi pencabarnya Presiden Donald Trump di Pennsylvania.

“Semua baki undi pos akan dikira. Dan kami sudah memperoleh 78 peratus undi pos di Pennsylvania,” ujar Biden.