Bukti kerajaan bina ekonomi baharu

KUCHING: Peruntukan yang dibentangkan pada Belanjawan 2021 membuktikan kerajaan sedang membina jambatan ekonomi baharu melalui ekonomi digital.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), Dato Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar (gambar) berkata, perubahan ke araha ekonomi digital melalui e-dagang diyakini mendatangkan keuntungan yang lebih baik berbanding konvensional.

“Ketika Mesyuarat Koperasi Ekonomi Asia-Pasifik(APEC) baru-baru ini, seluruh negara di dunia sedang mempergiatkan langkah mereka ke arah ekonomi digital.

“Ini jelas mengambarkan bahawa method penjualan secara konvensional tidak boleh dilaksanakan lagi dan kita turut perlu menukar haluan ke arah norma baharu dunia perniagaan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas pembentangan Belanjawan 2021 oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, semalam.

Menurutnya, peruntukan yang memfokuskan kepada peralihan ke arah e-dagang ini akan menggalakkan perbelanjaan secara dalam talian dan memanfaatkan 500 ribu usahawan tempatan.

“Melalui kajian yang diperolehi daripada SME Corp semasa dan selepas PKP, kita dapat lihat dengan jelas perkembangan e-commerce semakin memberangsangkan.

“Dengan menjadikan platform sosial media seperti Whatsapp dan Facebook sebagai wadah penjualan, hasil yang diperoleh para peniaga semakin meningkat,” ujarnya lagi.

Dalam hal berkaitan, Wan Junaidi turut mengulas berkenaan bantuan yang disalurkan kepada usahawan wanita dan koperasi melalui TEKUN.

“Saya sedar ramai daripada golongan usahawan khususnya wanita terjejas dengan pandemik Covid-19 yang melanda ini.

“Maka dengan itu telah menyalurkan RM80 juta daripada RM300 juta peruntukan yang diberikan bagi membantu golongan usahawan wanita untuk kekal bertahan dan memulakan perniagaan mereka ketika PKP yang lalu,” jelasnya lagi.

Sementara itu, beliau juga menegaskan MEDAC meningkatkan usaha dalam mempromosikan Ar-Rahnu kepada masyarakat.

“Penubuhan Ar-Rahnu pada awal tahun 2000 yang lalu bertujuan untuk mengatasi masalah pinjaman terhadap peminjam wang yang berisiko seperti Ahlong.

“Maka dengan itu saya bersama kementerian saya berusaha untuk mendekatkan Ar Rahnu dengan rakyat agar memudahkan mana-mana pihak yang ingin memerlukan bantuan daripada agensi tersebut,” tegasnya lagi.

Oleh Akmal Adib Yusup