Kerajaan peruntuk RM322.5 bilion

MENTERI Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz

KUALA LUMPUR: Sebanyak RM322.5 bilion atau 20.6 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) akan diperuntukkan dalam Belanjawan 2021.

Kementerian Kewangan dalam laporan Tinjauan Ekonomi 2021 yang dikeluarkan semalam berkata, daripada jumlah itu RM236.5 bilion (73.3 peratus) akan disalurkan untuk perbelanjaan mengurus (OE) dan RM69 bilion atau 21.4 peratus bagi perbelanjaan pembangunan (DE) manakala baki RM17 bilion ialah untuk Kumpulan Wang Covid-19.  

“Peruntukan OE pada 2021 dianggarkan lebih tinggi iaitu RM236.5 bilion (15.1 peratus daripada KDNK). Jumlah ini meningkat sebanyak 4.3 peratus berbanding anggaran disemak RM226.7 bilion bagi tahun 2020,” kata laporan itu.           

Menurut laporan itu, Emolumen kekal sebagai komponen terbesar merangkumi 35.7 peratus daripada OE.            

“Komponen tersebut dianggarkan meningkat kepada RM84.5 bilion terutamanya berikutan kenaikan gaji tahunan penjawat awam. Bayaran persaraan dianggarkan meningkat dua peratus kepada RM27.6 bilion iaitu mewakili 11.7 peratus daripada OE,” kata laporan itu. 

Pada 2021, sebanyak RM39 bilion diperuntukkan untuk bayaran hutang dan daripada jumlah tersebut 97.9 peratus ialah untuk pembayaran kupon atas hutang dalam negeri manakala bakinya untuk pinjaman luar pesisir.           

Seiring dengan pemulihan ekonomi, peruntukan DE akan terus disalurkan untuk program dan projek dengan kesan penggandaan yang tinggi untuk merangsang pertumbuhan ekonomi dan memelihara kehidupan rakyat.            

“Sebanyak RM69 bilion diperuntukkan pada 2021 iaitu peningkatan 38 peratus berbanding 2020. Peruntukan yang lebih besar disediakan untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi serta kualiti kehidupan dan persekitaran tempat tinggal yang lebih baik melalui pelaksanaan program dalam bidang pendidikan, kesihatan, perumahan, pengangkutan dan kemudahan awam,” kata laporan itu.            

Sebanyak RM67.3 bilion daripada DE merupakan peruntukan langsung manakala RM1.7 bilion lagi berbentuk pinjaman kepada kerajaan negeri dan entiti kerajaan.            

Bagi peruntukan mengikut sektor, sektor ekonomi kekal sebagai penerima terbesar iaitu sebanyak 56.4 peratus daripada DE diikuti sektor sosial (26.7 peratus), keselamatan (11.2 peratus) dan pentadbiran am (5.7 peratus).           

Peruntukan bagi sektor ekonomi yang berjumlah RM39 bilion berbanding RM28.5 bilion pada 2020 itu selari dengan usaha untuk memacu dan meningkatkan pertumbuhan ekonomi dengan memberi fokus utama kepada pengangkutan, perdagangan dan perindustrian, tenaga dan projek berkaitan kemudahan awam.             

“Subsektor pengangkutan menerima peruntukan terbesar iaitu 21.8 peratus daripada jumlah DE atau RM15 bilion bagi menambah baik, memperluas dan menyenggara lebuh raya, jalan, landasan kereta api, jambatan, pelabuhan dan lapangan terbang seperti projek pembinaan Landasan Berkembar Elektrik Gemas – Johor Bahru, Lebuhraya Pan Borneo, KVDT1, Sistem Transit Rapid serta peluasan Pelabuhan Kuantan dan lapangan terbang di Sandakan,” kata laporan itu.            

Peruntukan bagi sektor sosial berjumlah RM18.4 bilion iaitu 26.7 peratus daripada jumlah DE merupakan komponen kedua terbesar DE dengan RM8.9 bilion disediakan bagi menyediakan fasiliti pendidikan yang lebih baik dan menaik taraf infrastruktur sekolah serta institusi pengajian tinggi dan latihan.             

Subsektor kesihatan kekal sebagai subsektor utama dengan peruntukan sebanyak RM4.7 bilion (6.8 peratus daripada jumlah DE) dengan fokus perbelanjaan di bawah subsektor ini bertujuan menambah baik sektor kesihatan dan menyediakan sistem penjagaan kesihatan negara yang efektif.           

“Lebih banyak hospital dan klinik baharu akan dibina terutamanya di daerah kecil bagi memastikan sistem penjagaan kesihatan mampu milik, saksama dan mudah akses,” kata laporan itu.-Bernama