KUFC sedia ‘menyerang’

NAZRULERWAN Makmor

PASUKAN Kelantan United FC (KUFC) akan menjadikan taktikal serangan sebagai ‘kunci’ strategi ketika bertemu pasukan Perak, pada aksi pusingan pertama cabaran TM Piala Malaysia di Stadium Ipoh, malam ini.

Ketua Jurulatih KUFC Nazrulerwan Makmor berkata berdepan dengan pasukan pilihan seperti Perak, corak permainan KUFC tidak boleh hanya bergantung sepenuhnya dengan taktikal bertahan.

“Kita akan turun dengan taktikal menyerang dan bertahan secara ‘berwaspada’ memandangkan pasukan lawan dijangka lebih menguasai perlawanan.

“Permainan bola sepak menyerang dan bertahan perkara penting walaupun kami berdepan dengan pasukan yang berkualiti esok (malam ini),” katanya.

KUFC adalah pendatang baharu yang layak beraksi pada cabaran Piala Malaysia musim ini selepas terpilih  dari lima pasukan terbaik pada saingan Liga Premier.

Beliau berkata, dalam permainan bola sepak, pemain tidak boleh bertahan sepanjang 90 minit permainan kerana akan berlaku kesilapan disebabkan oleh pasukan lawan akan mengatur strategik bagi lemahkan kubu pertahanan.

“Kami akan bertemu dengan pasukan yang serba lengkap di semua posisi dan bekas juara Piala Malaysia edisi 2018. Oleh itu, kami tidak boleh tumpu kepada satu posisi sahaja,” katanya.

Menurut  Nazrulerwan semasa sesi latihan, tumpuan dilakukan secara seimbang dalam strategi bertahan mahupun serangan pasukan itu.

“Pasukan kami ke Perak bukan untuk sekadar bertahan. Jika bertahan sekalipun, kita akan bertahan sebagai satu pasukan dan menyerang juga sebagai satu pasukan,” katanya.

Beliau juga mengakui jurulatih pasukan lawan iaitu Mehmet Durokovic mempunyai pemain terbaik dan akan menurunkan kesebelasan pemain berpengalaman The Bos Gaurus.

“Justeru, saya berpesan kepada kepada anak buah agar mengelak daripada melakukan kesalahan-kesalahan kecil yang boleh ‘membunuh’ pasukan.

“Kami akan turun sebagai pasukan ‘underdog’.. .jika tiada kesilapan dilakukan, Insya-Allah kita akan bermain dengan lancar dan sebaik mungkin,” katanya.-Bernama

• KEMPEN PIALA MALAYSIA 2020