Ekonomi negara dijangka terus meningkat – PM

PERDANA Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika program Agenda Awani bersama Perdana Menteri berbicara tentang Belanjawan 2021 dan Cabaran Semasa yang disiarkan secara langsung semalam. • Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin optimistik bahawa ekonomi negara akan terus meningkat di bawah Belanjawan 2021 yang banyak menyediakan insentif luar biasa serta pelbagai peluang pekerjaan baharu.

Beliau berkata hampir RM28 bilion daripada RM322.5 bilion jumlah keseluruhan peruntukan belanjawan itu adalah dalam bentuk subsidi dan insentif, antaranya menjadikan Malaysia destinasi utama untuk pelaburan asing serta menjana peluang pekerjaan buat rakyat tempatan.

“Subsidi penting supaya kita dapat menentukan kumpulan sasar seperti petani, nelayan, pekebun kecil mahupun penoreh getah dan sektor informal lain untuk terus berniaga.

“Langkah-langkah yang kita ambil (di bawah Belanjawan) telah beri satu kelegaan dengan hampir 11.6 juta rakyat yang telah mendapat bantuan akan terus dibantu.

“Di samping itu, ekonomi kita diharap dapat meningkat supaya peluang-peluang pekerjaan tidak akan terjejas,” kata Perdana Menteri dalam satu temu bual khas oleh Astro Awani yang disiarkan secara langsung semalam.

Muhyiddin berkata hampir 860,000 orang sedang menganggur di Malaysia pada waktu ini.

Sehubungan itu, beliau menggesa agar sektor swasta untuk terus menjadi pendokong kepada pembangunan ekonomi negara seperti yang telah dilakukan sejak dahulu lagi.
Katanya, kerajaan juga telah mengambil pendekatan untuk membantu sektor swasta seperti pemberian moratorium, yang melibatkan institusi kewangan dalam menyediakan bantuan bayaran balik pinjaman agar syarikat dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) boleh kekal berurus niaga.

Muhyiddin berkata selain daripada itu, insentif bersasar kepada sektor swasta seperti pembuatan, pelancongan, dan pembinaan juga turut diberikan.

“Kalau dilihat dalam pembentangan Belanjawan oleh Menteri Kewangan semalam, hampir semua sektor ada diberikan insentif  termasuk sektor industri kecil dan sederhana.

“Ini langkah penting supaya kita dapat pastikan mereka boleh meneruskan perniagaan dan kita akan pantau secara dekat,” jelas beliau.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata kerajaan akan memperincikan pelaksanaan dan penyampaian insentif Belanjawan 2021 setelah mendapat kelulusan Parlimen. – Bernama