Pusat Latihan, Inkubator Pertanian Moden Fertigasi DUN Nangka Perkasa sektor pertanian

UNTUK ALBUM… Dr. Annuar Rapa’ee (tengah) merakam gambar kenangan bersama para penerima pada Majlis Penyerahan Projek Peruntukan Fasilitasi Pertanian (AFF) DUN Nangka di Dewan MUC, baru-baru ini.

SIBU: Pembangunan teknologi dalam pertanian bukan sahaja dapat meningkatkan hasil pengeluaran berganda, malah kaedah penanaman juga dapat dipermudahkan.

Teknologi pertanian moden ini juga dapat mengelak serangan musuh perosak dan kos buruh dapat dikurangkan.

Masyarakat kini perlu melengkapkan diri dengan pengetahuan dan kemahiran tinggi serta bersikap positif dalam mengamalkan teknologi moden bagi meningkatkan produktiviti dan bermutu, serta menyumbang kepada peningkatan pendapatan dari bidang pertanian.

Menyedari hal sedemikian, wakil rakyat Gabungan Parti Sarawak (GPS) Dr Annuar Rapa’ee mengambil inisiatif dengan menubuhkan Pusat Latihan dan Inkubator Pertanian Moden Fertigasi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nangka.

Annuar yang juga merupakan Menteri Muda Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka berkata, dengan adanya pusat latihan tersebut, sektor pertanian moden di kawasan DUN Nangka terutamanya dapat diperkasakan.

Katanya, pusat berkenaan kini dalam pembinaan dan dijangka mula mengambil peserta pada awal tahun depan.

“Apabila siap kelak, pusat latihan ini akan menyediakan latihan dan pengetahuan mengenai pertanian moden kepada peserta selama dua hingga tiga bulan.

“Peserta akan diberi tanah untuk mereka memulakan tanaman fertigasi mereka sehinggalah tanaman mereka membuahkan hasil.

“Dengan hasil tanaman yang mereka perolehi, mereka akan jual dan dijadikan modal untuk mereka memulakan projek fertigasi mereka sendiri,” katanya pada Majlis Penyerahan Projek Peruntukan Fasilitasi Pertanian (AFF) DUN Nangka di Dewan MUC di sini, baru-baru ini.

Menurut Dr. Annuar, Pusat Latihan dan Inkubator Pertanian Moden Fertigasi DUN Nangka ini dibina di Penasu kerana mempunyai semua kemudahan yang diperlukan untuk pertanian fertigasi, di samping kawasan yang paling banyak memulakan projek fertigasi di Nangka.

“Sebanyak RM50,000 telah diperuntukkan untuk membina pusat latihan tersebut dan dijangka siap dalam tempoh dua hingga tiga bulan lagi.

“Ini adalah satu usaha saya bersama pasukan serta Jawatankuasa Pertanian DUN Nangka untuk menggalakkan orang ramai menceburi pertanian moden,” ujarnya.

Dalam pada itu, Annuar memberitahu, seramai 53 peserta dari DUN Nangka telah menerima dana berjumlah RM1 juta dari Kerajaan Negeri di bawah Program Tabung Fasilitasi Pertanian (AFF).

Katanya, dari 53 peserta, 31 terlibat dalam pertanian fertigasi, 15 untuk ‘baby corn’ dan tujuh orang untuk sektor makanan.

“Satu mekanisme telah dibuat untuk memantau kemajuan peserta yang terlibat dalam projek berkenaan bagi memastikan projek ini tidak menjadi projek ‘gajah putih’.

“Jabatan Pertanian akan memantau perkembangan setiap peserta dengan teliti,” jelasnya.

Katanya lagi, pihak yang berkaitan seperti mereka yang mengedarkan bahan (kepada peserta), yang dipilih oleh jabatan akan giat memantau kemajuan peserta di samping memberi tunjuk ajar dan latihan.

“Saya tidak mahu para peserta melakukannya separuh jalan atau angan-angan tahi ayam. Saya mahu mereka terlibat dengan serius dan mahu melihat bahawa usaha mereka membuahkan hasil.

“Ini adalah projek jangka panjang dan mereka tidak boleh menuai hasil dalam satu malam,” katanya.

Menyentuh mengenai pembiayaan untuk projek itu, Annuar memberitahu, dana tersebut adalah dari Kerajaan Negeri, yang disalurkan kepada Kementerian Pemodenan Pertanian, Tanah Asli dan Pembangunan Wilayah.

“Dana kemudian disalurkan ke setiap DUN untuk mempromosikan pertanian moden, yang mana setiap DUN menerima RM1 juta setiap tahun,” jelasnya.

Oleh Nurzilla Mohamad