Komuniti maritim semakin patuh

LANGKAWI: Pemantauan berterusan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kedah dan Perlis menyaksikan komuniti maritim semakin mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan bagi membendung wabak COVID-19 yang dilaksanakan sejak Rabu.

Timbalan Pengarah Operasi Maritim Negeri Kedah dan Perlis Kapten Maritim Zulinda Ramly berkata pada awal pelaksanaan perintah itu, pihaknya mengesan ada pengusaha bot pelancongan masih menjalankan aktiviti mereka namun hasil pemantauan berterusan,jumlahnya semakin berkurangan.

Beliau berkata Jabatan Perikanan Malaysia telah mengeluarkan arahan bahawa sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan, aktiviti memancing di laut dan aktiviti persendirian atau hobi yang bukan bertujuan untuk mendapatkan bekalanmakanan serta memasarkannya kepada rakyat adalah tidak dibenarkan.

“Sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan, Maritim Malaysia bertindak melaksanakan pengawasan melibatkan kumpulan sasar maritim seperti nelayan, pengusaha perkhidmatan pengangkutan laut, kapal perdaganganserta kapal layar. Pemantauan dilaksanakan menerusi rondaan aset laut, udara serta dibantu dengan Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) Maritim Malaysia.

“Berdasarkan operasi yang dilaksanakan semalam di sekitar perairan Langkawi seperti di Selat Melaka dan Selat Cincin, pemantauan tidak menemukan sebarang aktiviti yang dilarang dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan,” katanya kepada Bernama di sini semalam.

Zulinda berkata sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan, Maritim Malaysia Kedah dan Perlis mengatur gerak dua aset bagi melaksanakan operasi dengan kekuatan 30 anggota. “Operasi bagi memastikan Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan 24 jam sehari. Di samping itu, Maritim Malaysia Kedah dan Perlis tetap melaksanakan tugas-tugas penguatkuasaan serta Op Mencari dan Menyelamat (CARILAMAT) di Zon Maritim Malaysia (sekiranya perlu),” katanya.– Bernama