PKPB: Kota Bharu, Kuantan lokasi pilihan suku akhir Piala Malaysia

KAWAL BOLA … Pemain Melaka United Deevan Raj Siva Balan (tengah) cuba mengawal bola dari dirampas pemain Selangor Ahmad Zikri Mohd Khalili (kanan) pada perlawanan bola sepak pusingan pertama saingan Piala Malaysia 2020 di Stadium Hang Jebat Krubong malam kelmarin. Keputusan penuh Selangor menang ke atas Melaka United dengan jaringan 2-1. – Foto BERNAMA

KOTA Bharu dan Kuantan menjadi dua lokasi pilihan bagi meneruskan saingan Piala Malaysia 2020, susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), yang dilaksanakan di kebanyakan negeri sehingga 6 Disember ini.

Kelantan, Pahang dan Perlis, merupakan tiga negeri terkecuali daripada pelaksanaan PKPB yang berkuat kuasa selama empat minggu itu.

Menurut sumber Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), cadangan badan pentadbir Liga Malaysia (Liga-M) itu akan dibentangkan kepada Kementerian Belia Sukan (KBS) dalam masa terdekat, bagi mendapatkan kelulusan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Katanya keputusan muktamad akan diketahui dalam tempoh kurang 72 jam, memandangkan aksi peringkat suku akhir Piala Malaysia 2020 dijadualkan berlangsung pada Khamis dan Jumaat ini.

“Tiada keraguan untuk meneruskan Piala Malaysia yang hanya tinggal tiga pusingan, cuma kaedah untuk menjalankan saingan itu perlulah mendapat kelulusan daripada MKN,” katanya kepada Bernama semalam sambil mengesahkan Kelantan dan Pahang sebagai lokasi alternatif.

Menurut beliau, dua daripada keseluruhan empat perlawanan peringkat suku akhir akan dijalankan di lokasi sekitar Kota Bharu, manakala dua lagi aksi dilangsungkan di Kuantan dengan Stadium Darul Makmur serta Stadium Majlis Perbandaran Temerloh, yang disebut-sebut sebagai gelanggang pilihan.

“Idea untuk ia dilangsungkan secara karnival dan setempat tidak berapa sesuai, kerana beberapa faktor seperti kekurangan fasiliti menepati piawaian standard ditetapkan, selain isu kerosakan permukaan padang,” tambah beliau.

Aksi suku akhir Piala Malaysia 2020 menyaksikan juara bertahan Johor Darul Ta’zim (JDT) akan menentang Kuala Lumpur, Pulau Pinang berdepan UiTM FC, Terengganu FC melawan Perak dan Kedah berdepan juara 33 kali Selangor.

Penguatkuasaan PKPB bermula hari ini sehingga 6 Dis itu dilaksanakan susulan peningkatan kes positif Covid-19 di beberapa negeri di Semenanjung, dengan sebanyak 302 kes baharu dicatatkan setakat semalam. – Bernama