BN nyata sokongan bersyarat terhadap Belanjawan 2021

AHLI Parlimen Pekan Datuk Seri Najib Tun Razak ketika berucap pada mesyuarat ketiga penggal ketiga Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen semalam. • Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) menyatakan sokongan bersyarat terhadap Belanjawan 2021 dengan menuntut kerajaan membenarkan pengeluaran “one-off” hingga RM10,000 daripada Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) selain melanjutkan moratorium.

Ketika menyatakan perkara itu, Datuk Seri Najib Tun Razak (BN-Pekan) yang juga Pengerusi Kelab Penyokong Barisan Nasional (BNBBC), turut berpandangan pindaan terhadap Rang Undang-undang Perbekalan 2021 wajar dilakukan, mengambil kira situasi luar biasa dihadapi negara ketika ini susulan pandemik Covid-19.

“Bajet ini dibuat dalam keadaan luar biasa, kalau kita nak pinda pun bajet ini ia wajar dilakukan sebab ini keadaan luar biasa dan tambahan lagi dalam hal ini, pendirian BN seperti mana disuarakan oleh (Ahli Parlimen) Bagan Datuk (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) bahawa kita nak pengeluaran KWSP sebanyak RM10,000 secara ‘one-off’ dan moratorium dilanjutkan hingga 30 Jun 2021 diluluskan oleh kerajaan.

“Sokongan saya dan rakan-rakan terhadap bajet ini tertakluk kepada kelulusan kedua-dua ini, jadi sokongan kita (BN) pada bajet ini sokongan bersyarat,” katanya ketika membahaskan rang undang-undangitu di Dewan Rakyat semalam.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab celahan Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian) tentang kemungkinan Rang Undang-undang Perbekalan kali ini dipinda kerana sepanjang pengalamannya sebagai ahli Parlimen, perkara itu tidak pernah berlaku.

Pada awal perbahasan, suasana hangat seketika apabila RSN Rayer (PH-Jelutong) mempersoalkan tempoh 90 minit yang diberikan kepada Najib dan memulakan perbahasan bagi pihak penyokong kerajaan sedangkan Datuk Seri Shahidan Kassim (BN-Arau) adalah Pengerusi Majlis Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PNBBC) yang seharusnya memulakan perbahasan rang undang-undang itu untuk blok kerajaan.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun bagaimanapun menjelaskan Najib dipilih sebagai pembahas utama blok kerajaan, oleh itu beliau diberikan 90 minit sebagaimana tempoh berbahas bagi Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim Isnin lepas.

Meneruskan perbahasan, Najib berkata berdasarkan harapan rakyat, Belanjawan 2021 perlu dibuat penambahbaikan supaya penerimaan rakyat menjadi lebih mantap dan menyeluruh.

Najib berkata langkah pengeluaran secara “one-off” KWSP diperlukan untuk menaikkan kitaran wang dalam ekonomi pada masa perbelanjaan kerajaan adalah terhad, serta boleh digunakan rakyat sebagai penyelesaian tunggakan hutang, selain menjadi modal asas memulakan perniagaan kecil terutama bagi mereka yang kehilangan pekerjaan.

“Tanggungjawab kerajaan bukan untuk menafikan pencarum daripada mengakses wang milik mereka sendiri pada masa mereka paling terdesak. Fokus kerajaan pula ialah mencari jalan untuk memulih dan memastikan pencarum dengan baki simpanan yang rendah dapat menambah simpanan mereka dengan kadar paling cepat,” katanya.

Najib berkata, perkara itu boleh dilakukan menerusi tiga cara, iaitu membantu KWSP meraih pendapatan yang lebih dengan memberi projek lumayan kepada KWSP; menaikkan semula kadar caruman bulanan majikan dan pencarum; serta mengubah struktur pembayaran dividen kepada struktur berperingkat.

Bekas perdana menteri itu berkata, cadangan lanjutan moratorium selama enam bulan lagi perlu dipanjangkan kepada semua peminjam, termasuk pinjaman Amanah Ikhtiar Malaysia dan TEKUN selain Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) bagi penjawat awam.

Dalam pada itu, Najib mengingatkan kerajaan supaya tidak meneruskan perkara tidak disenangi rakyat termasuk peruntukan bagi agensi Jabatan Hal Ehwal khas (Jasa) yang boleh dibelanjakan untuk pembelian pelitup muka, cecair pencuci tangan kepada rakyat atau diberi kepada ibu bapa bagi menggantikan bekalan Rancangan Makanan Tambahan (RMT) untuk murid-murid yang dinafikan sarapan pagi kerana sekolah ditutup.

Selain itu, Najib turut mencadangkan kerajaan melaksanakan Rancangan Pandang ke Borneo sebagai pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi seluruh negara untuk jangka masa sederhana dan panjang.

Beliau berkata, Sabah dan Sarawak mempunyai sumber kekayaan semula jadi yang amat besar dan lokasi yang strategik kerana berada lebih dekat dengan negara-negara yang pesat membangun di Asia Timur berbanding Semenanjung Malaysia.

“Secara asasnya, negeri yang kurang membangun akan mengalami pertumbuhan dengan lebih pesat jika diberi perhatian dan pelaburan yang sewajarnya. Adalah tidak masuk akal jika kita menggalakkan syarikat-syarikat dari Malaysia untuk melabur di luar negara tanpa memberi peluang mereka melabur di Sabah dan Sarawak yang penuh dengan potensi,” katanya. – Bernama