Pihak pengawal selia digesa bantu pelaksanaan Belanjawan 2021

“PIHAK pengawal selia pula perlu membantu perniagaan menerusi pengawalseliaan berkesan sebagai sebahagian norma baharu. Pengawalseliaan yang berkesan adalah perlu untuk memacu pelaburan memperkukuh sektor strategik khususnya peralatan perubatan, e-dagang, logistik dan teknologi pendidikan; selain menambah baik akses kepada pembiayaan. Kita perlu memastikan ekonomi terus berkembang, dengan penciptaan pekerjaan dan kesinambungan perniagaan semasa tempoh yang amat tidak menentu ini.”
-Datuk Abdul Latif Abu Seman

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan Belanjawan 2021 semasa tempoh pandemik Covid-19 adalah mencabar susulan wujud ketidaktentuan kerana perniagaan seperti kelaziman tidak lagi dapat beroperasi.

Ketua Pengarah Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), Datuk Abdul Latif Abu Seman berkata, pihak pengawal selia pula perlu membantu perniagaan menerusi pengawalseliaan berkesan sebagai sebahagian norma baharu.

Beliau berkata, pengawalseliaan yang berkesan adalah perlu untuk memacu pelaburan; memperkukuh sektor strategik khususnya peralatan perubatan, e-dagang, logistik dan teknologi pendidikan; selain menambah baik akses kepada pembiayaan.

“Kita perlu memastikan ekonomi terus berkembang, dengan penciptaan pekerjaan dan kesinambungan perniagaan semasa tempoh yang amat tidak menentu ini,” katanya dalam kenyataan semalam.

Beliau berkata daripada perspektif dasar awam yang lebih baik, agenda amalan pengawalseliaan baik (GRP) dimiliki Malaysia terus relevan untuk mengembalikan pertumbuhan ekonomi, mempertingkat produktiviti dan daya saing negara.

“Usaha GRP untuk meningkatkan kualiti peraturan baharu menerusi analisis kesan pengawaseliaan dan kajian semula peraturan sedia ada akan mengurangkan kos pengawalseliaan bagi menjalankan perniagaan, membantu menambah baik iklim perniagaan di samping menyokong perdagangan dan pelaburan,” katanya.

MPC turut menggesa kerajaan Persekutuan, negeri dan pihak berkuasa tempatan supaya komited dalam melaksanakan GRP dan meneliti semula proses pelaksanaan pengawalseliaan semasa.

Sekiranya perlu, pelaksanaan itu boleh disusun semula agar lebih cekap, mudah dan dapat mengurangkan kos pematuhan tanpa mengkompromikan keselamatan, kesihatan, alam sekitar serta perkhidmatan atau komiditi awam untuk memudahkan dan mempercepatkan proses penyampaian perkhidmatan kerajaan ke arah merealisasikan matlamat Belanjawan 2021, menurutnya.- Bernama