Pasar Tamu Simanggang meriah

PELBAGAI PILIHAN…Pasar Tamu Simanggang baharu kekal mendapat kunjungan tinggi penduduk Bandar Simanggang walaupun kes positif pandemik Covid-19 di Sarawak direkodkan meningkat sebelum ini.

SIMANGGANG: Peningkatan jumlah kes positif pandemik Covid-19 dalam negeri ini nyata tidak memberi impak dari segi sambutan orang ramai terhadap Pasar Tamu Simanggang yang baharu sehingga sekarang.

Hasil tinjauan rambang mendapati Pasar Tamu Simanggang (PTS) baharu tersebut masih kekal meriah dengan ratusan penduduk dilihat terus bertindak mengunjungi lokasi popular berkenaan bermula dari 7.30 hingga 11.00 pagi pada setiap hari.

Kunjungan mereka ke situ sememangnya diketahui kerana PTS menawarkan pelbagai produk makanan dari produk hasil tangkapan laut dan sungai hingga hasil tani.

Malah, penduduk juga boleh bertindak membeli barangan keperluan dapur rumah masing-masing di pasar berkenaan seperti belacan, garam, ikan masin, ikan bilis, telur masin, bawang merah dan banyak lagi.

“PTS baharu ini juga turut menjual pelbagai jenis bunga, anak pokok buah, baja, benih sayur dan tanah komposisi khas yang sememangnya dicari golongan suri rumah” kata seorang pengunjung wanita di situ.

Kerani bagi sebuah ladang di Pantu itu memberitahu dia dan keluarga tidak berasa bimbang untuk ke PTS baharu setiap hari kerana orang ramai dilihat bertindak mengamal norma hidup baharu ketika berkunjung ke lokasi ini.

Selain itu, kehadiran kakitangan Majlis Daerah Sri Aman (MDSA) di pintu masuk pasar tamu itu meningkatkan keyakinannya terhadap penguatkuasaan prosedur standard operasi (SOP) di situ sepanjang masa.

Sementara itu, Henry Kunjan dari Engkilili memberitahu dia tidak pernah berasa bimbang ke PTS selama ini kerana pengunjung menggunakan pelitup muka.

“Ia menandakan pengunjung mematuhi SOP. Justeru, saya tidak perlu bimbang untuk ke PTS pada setiap hari jika pengunjung kekal mengamalkan SOP,” kata pemuda itu.

Terdahulu, PTS baharu bernilai RM6.68 juta berkenaan sudah beroperasi berdekatan di tapak lama Rumah Rehat Residen sejak Julai 2018 bagi menggantikan lokasi lamanya di sebelah bangunan Telekom Sri Aman.

Kemudahan baharu ini menempatkan sejumlah 240 lot tapak jualan barangan basah, kering dan sayur bersama dengan 87 petak meletak kereta, 42 petak tempat meletak motorsikal dan terminal bas.