Tarikan baharu peminat haiwan

TAMAN Rimba Bukit Bauk di sini yang sinonim sebagai pusat riadah dan aktiviti pendakian kini mempunyai satu lagi daya tarikan baharu kepada pengunjung iaitu Taman Kucing Dungun.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Dungun (MPD), Lizan Che Mat berkata, ketika ini, sebanyak 30 ekor kucing jalanan yang dijumpai sepanjang operasi MPD di pasar, kedai makan dan tempat awam lain telah ditempatkan di Taman Kucing Dungun untuk dirawat.

“Taman Kucing Dungun adalah satu inisiatif kami untuk memastikan kawasan tumpuan awam bebas daripada gangguan kucing jalanan dan pada masa sama memastikan haiwan ini terjaga.

“Inisiatif ini telah dimulakan pada tahun 2012 di Teluk Lipat dekat Sura namun lokasi itu tidak lagi sesuai untuk penempatan Taman Kucing Dungun ini, sebab itu kita pindahkan ia ke Taman Rimba Bukit Bauk pada Julai lepas kerana kawasan ini lebih sesuai sekali gus menjadi satu lagi destinasi pilihan bagi pencinta kucing,” katanya.

Terdapat lima sangkar pengasingan disediakan mengikut kategori kesihatan haiwan iaitu Unit Rawatan Rapi, Unit Pemulihan, Unit Kucing Bahagia, Wad Keluarga Bahagia serta Wad Rawatan Ibu dan Anak.

Mengulas lanjut, Lizan berkata Taman Kucing Dungun itu mampu memuatkan 150 kucing pada satu-satu masa yang dikendalikan dua kakitangan MPD ketika ini.

“Setakat ini, tiada sebarang bayaran masuk dikenakan kepada pelancong, malah kawasan ini juga sesuai dijadikan pusat rekreasi untuk keluarga yang cintakan alam semula jadi.

“Kami juga amat menggalakkan pengunjung untuk menyumbang makanan, ubat-ubatan, peralatan dan sumber kewangan untuk menampung keperluan kucing tersebut,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Terengganu, Dr Mohd Termizi Ghazali berkata, pihaknya akan memberi rawatan perubatan dan pemeriksaan kesihatan secara berkala di Taman Kucing Dungun.

“Kita juga akan memberi kursus kepada kakitangan MPD yang bertanggungjawab menjaga taman kucing ini agar mereka boleh menjaga haiwan ini dengan baik terutama dari segi pemberian vitamin dan rutin penjagaan kebersihan harian.

“Kakitangan JPV Terengganu akan bertugas mengikut giliran yang ditetapkan supaya semua kucing terbiar ini kembali sihat dan comel seperti kucing peliharaan,” katanya.

Seorang pengunjung, Aidie Amin Yatim, 39, berkata, beliau berkunjung ke Taman Kucing Dungun itu setelah berita mengenainya tular di media sosial, sejak dua hari lepas.

“Saya memang pencinta kucing dan ada membela dua ekor di rumah…bila saya tunjuk gambar taman ini kepada anak-anak, mereka teruja mahu datang dan membelai sendiri kucing jalanan ini.

“Insya-Allah saya akan datang lagi pada masa akan datang kerana belaian kucing ini adalah satu terapi untuk kami sekeluarga,” katanya yang tinggal di Paka. – Bernama