Sawit: Kerajaan dijangka raih keuntungan cukai lebih RM348 juta

“Ini berdasarkan prestasi, jangkaan harga dan pengeluaran buah tandan segar (BTS) dari estet bagi tempoh sepanjang tahun ini.Sebagai panduan, levi atau cukai terbabit dikenakan pada kadar tiga peratus bagi harga kelapa sawit melebihi RM2,500/tan di Semenanjung dan 1.5 peratus bagi harga kelapa sawit melebihi RM3,000/tan di Sabah dan Sarawak. Harga MSM yang melepasi paras RM3,000 satu tan dijangka terus meningkat, dipacu oleh sentimen pasaran yang positif, jangkaan penurunan stok dan peningkatan eksport serta perkembangan ekonomi dan politik global pada penghujung 2020.”
-Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali

KUALA LUMPUR: Kerajaan dijangka memperoleh potensi hasil kutipan cukai keuntungan luar biasa yang dianggarkan mencecah RM348 juta bagi 2020 berbanding RM256,000 pada tahun lepas susulan kenaikan harga Minyak Sawit Mentah (MSM).

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, ini berdasarkan prestasi, jangkaan harga dan pengeluaran buah tandan segar (BTS) dari estet bagi tempoh sepanjang tahun ini.

Sebagai panduan, levi atau cukai terbabit dikenakan pada kadar tiga peratus bagi harga kelapa sawit melebihi RM2,500/tan di Semenanjung dan 1.5 peratus bagi harga kelapa sawit melebihi RM3,000/tan di Sabah dan Sarawak.

“Harga MSM yang melepasi paras RM3,000 satu tan dijangka terus meningkat, dipacu oleh sentimen pasaran yang positif, jangkaan penurunan stok dan peningkatan eksport serta perkembangan ekonomi dan politik global pada penghujung 2020.

“Malah, harga tersebut telah menunjukkan trend peningkatan yang sebegitu ketara, melonjak kepada RM3,424 satu tan pada 6 Nov, 2020 berbanding paras terendahnya RM2,021.50 satu tan pada 12 Mei, 2020 iaitu peningkatan sebanyak RM1,402.50 atau 69.4 peratus,” katanya dalam satu kenyataan media semalam.

Beliau berkata, harga minyak sawit dan pergerakannya di pasaran ditentukan oleh kuasa permintaan dan penawaran selain turut dipengaruhi oleh faktor asas dan sentimen pasaran.

Menurutnya, ini menunjukan bahawa kenaikan harga sawit tidak hanya membantu meningkatkan pendapatan pekebun kecil serta estet tetapi turut menyumbang kepada pembangunan ekonomi demi kemakmuran negara.

Selain itu, Mohd Khairuddin berkata kementerian itu juga sedang meneliti struktur keseluruhan pencukaian ses (cukai khas) dalam sektor perladangan komoditi dalam usaha merancakkan lagi pembangunan industri sawit.- Bernama