FIFA cadang lima pemain pengganti

PAUKAN dapat menukar lima pemain dari bangku simpanan ketika bola sepak disambung semula, jika cadangan FIFA disetujui . – AFP

BOLA SEPAK ANTARABANGSA

FIFA semalam berkata mereka mencadangkan lima pemain penggantian untuk setiap perlawanan ketika bola sepak disambung semula, untuk membantu pemain mengatasi peningkatan jumlah permainan.

Badan pentadbiran dunia itu telah menghantar usulnya kepada Lembaga Antarabangsa (IFAB), penjaga undang-undang permainan, yang harus menyetujuinya sebelum dapat dilaksanakan oleh liga kebangsaan, kata jurucakap FIFA.

“Apabila pertandingan disambung semula, kalendar akan dibebani dengan jumlah pertandingan yang lebih tinggi berbanding biasa,” katanya.

“Keselamatan pemain merupakan salah satu keutamaan FIFA. Salah satu kebimbangannya ialah kekerapan perlawanan yang tinggi dapat meningkatkan potensi risiko kecederaan,” tambahnya.

Untuk mengatasi masalah ini, FIFA telah membuat proposal kepada IFAB untuk “melonggarkan Undang-Undang 3 permainan untuk sementara waktu untuk memungkinkan sejumlah besar pemian gantian. Setiap pasukan dapat membuat lima pertukaran dalam asa sebenar perlawanan ditambah pengganti keenam dalam masa tambahan.”

Proposal itu perlu dikaji dengan cepat oleh IFAB kerana beberapa liga merancang untuk disambung semula setelah berhenti bermain kerana wabak Covid-19 pada awal Mei.

Langkah itu dapat terus dilaksanakan sepanjang musim 2020-2021 dan juga berlaku “secara teori” semasa kejuaraan Eropah musim panas depan, menurut sumber yang dekat dengan FIFA.

“Sekiranya langkah ini disahkan oleh lembaga, setiap liga dan setiap badan akan dapat memutuskan untuk menerapkannya atau tidak dalam pertandingan pilihan mereka,” tambah jurucakap FIFA. – AFP