SK Merpati Jepang bakal berubah wajah

MAJLIS pecah tanah SK Merpati Jepang.

BIDANG pendidikan sememangnya memainkan peranan penting dalam merealisasikan visi kerajaan menjadikan Sarawak sebuah negeri maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2030.

Ini kerana pendidikan merupakan nadi utama dalam usaha membangunkan modal insan berkualiti yang diperlukan untuk memacu kemajuan negeri pada masa hadapan.

Namun, sekolah daif menjadi salah satu faktor penghalang kepada kecemerlangan pendidikan di negeri ini.

Oleh itu, Kerajaan Sarawak telah mengambil inisiatif untuk menawarkan RM1 bilion sebagai kontra pembayaran pinjaman negeri yang akan diperuntukan bagi membaik pulih sekolah daif berkenaan dalam tiga fasa.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, projek ini akan membawa impak dan kesan besar kepada para pelajar, guru-guru, ibu bapa dan komuniti setempat apabila sekolah daif mendapat bangunan baru yang lebih sempurna, selamat dan selesa.

“Sejumlah 1,265 sekolah rendah di seluruh negeri ini bakal mempunyai makmal komputer masing-masing dalam tempoh tiga tahun akan datang dan kerajaan negeri memperuntukkan RM12juta bagi tujuan itu,” katanya.

Sarawak mempunyai sistem pendidikan sendiri yang mana menggalakan murid-murid sekolah rendah faham penggunaan komputer.

Ini bagi membolehkan mereka belajar mengenai teknologi menerusi makmal komputer.

Dalam pada itu, Kerajaan Sarawak bersama Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) bakal memperkenalkan sistem pembelajaran antarabangsa berteraskan pendidikan ilmu dunia dan akhirat.

Abang Johari memberitahu, satu kajian sedang dijalankan untuk memperkenalkan sistem pembelajaran yang menitikberatkan ilmu dunia dan akhirat di negeri ini dan beliau telah mengarahkan pihak JAIS untuk berunding dengan Madrasah Aljunied Singapura supaya Sarawak mempunyai sekolah antarabangsa dari sudut ilmu agama dunia dan akhirat.

“Bagi sekolah di bawah Majlis Islam Sarawak (MIS), kita juga memikirkan supaya anak-anak kita masuk ke sekolah menengah agama.

“Pada masa kini, MIS sedang mengkaji sistem pembelajaran Madrasah Aljunied Singapura untuk kita jadikan model contoh sekolah antarabangsa kita kelak,” jelasnya.

Madrasah Aljunied Singapura mempunyai dua sistem pembelajaran yang mana sekolah berkenaan menitikberatkan dunia dan akhirat.

“Kita mesti ikut sistem pendidikan sekolah itu oleh kerana pendidikan di sana sangat canggih.

“Hal ini penting jika kita mahu menaik taraf pendidikan di Sarawak,” katanya.

Silibus antarabangsa di Madrasah Aljunied Singapura membolehkan pelajar dihantar ke universiti terkemuka dunia.

Baru-baru ini, Kerajaan Sarawak menerusi Kementerian Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Sarawak meluluskan peruntukan sebanyak RM10.38 juta untuk pembinaan bangunan pentadbiran baru dan menaik taraf Sekolah Kebangsaan (SK) Merpati Jepang.

Majlis pecah tanah projek itu dirasmikan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Merpati Jepang merangkap Ahli Dewan Negara Senator Zaiedi Suhaili dalam ucapannya berkata, projek ini mempunyai erti dan signifikan yang besar kepada warga sekolah dan PIBG.

“Lebih dari 10 tahun kami berusaha untuk menjadikan projek ini satu realiti dengan memohon dana kepada pihak berwajib,” katanya.

Tambahnya, dengan siapnya projek ini nanti, sudah tentu prasarana dan suasana pembelajaran di sekolah ini akan menjadi lebih kondusif dan menjadi impian serta hasrat warga pendidik di sini untuk meningkatkan kualiti pendidikan di sekolah tersebut.

Projek yang mengambil masa 14 bulan ini akan bermula pada 28 Oktober sehingga 27 Disember 2021.

SK Merpati Jepang yang mula-mula digunakan adalah bangunan kayu Pejabat Perhutanan di bawah pentadbiran Kuching Municipal Council dan seterusnya didaftarkan dengan Jabatan Pendidikan Sarawak pada 22 Ogos 1959.

Bangunan yang akan dirobohkan telah dibina pada tahun 1965 dan mula digunakan pada tahun 1968.

Keadaan bangunan yang semakin uzur telah mencetuskan cadangan Yang Dipertua PIBG untuk pembinaan semula bangunan gantian.

Dalam satu majlis perasmian di sekolah pada tahun 2017, Ketua Menteri telah menyatakan hasrat beliau untuk membina bangunan baru yang dilengkapi dengan pelbagai kemudahan terkini untuk memastikan murid-murid di SK Merpati Jepang dapat terus belajar dalam suasana yang kondusif selari dengan peraliran zaman.

Usaha untuk merealisasikan hasrat Ketua Menteri yang juga merupakan bekas murid SK Merpati Jepang mula digiatkan melalui beberapa siri perjumpaan Setiausaha Politik beliau dengan pihak sekolah pada tahun 2019 dan 2020.

Dalam kunjungan hormat ke pejabat beliau di Wisma Bapa Malaysia pada 16 Oktober 2019, pihak sekolah telah membentangkan cadangan pelan bangunan gantian dan kos pembinaan.

Pada 18 Februari 2020, pihak sekolah telah dimaklumkan melalui mesyuarat di Pejabat Setiausaha Kewangan Negeri bahawa permohonan dana pembinaan blok gantian telah diluluskan.

Kementerian Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Sarawak (MESTR) telah dilantik sebagai agensi klien manakala Jabatan Kerja Raya Sarawak (JKR Sarawak) sebagai agensi pelaksana projek.

Oleh Nur Ain Otsman