Perlu rintis jalan pulihkan ekonomi

PERDANA Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin (tengah), Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (kanan) serta Menteri Luar Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengikuti Sidang Kemuncak ASEANKe-37 dan Sidang-Sidang Kemuncak Berkaitan pada hari keenam persidangan tersebut yang diadakan secara maya semalam. • Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: ASEAN dan New Zealand perlu merintis jalan untuk segera keluar daripada kesan buruk ekonomi akibat penularan wabak Covid-19.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, inisiatif itu penting ketika negara seluruh dunia bergelut menangani wabak ini selepas hampir setahun.

Beliau berkata, langkah itu boleh dilaksanakan menerusi memperkemaskan potensi peluang yang wujud, mengelak daripada peraturan perlindungan, meningkatkan daya tahan serta mengekalkan pasaran terbuka.

“ASEAN dan New Zealand mesti meningkatkan kerjasama bagi memelihara kesalinghubungan rantaian bekalan global.

“Ketika ASEAN dan New Zealand terus bekerjasama dalam bidang strategik tradisi sedia ada, suatu pendekatan yang lebih komprehensif dan tersusun perlu dibentuk untuk kita terus maju dalam era selepas wabak,” katanya pada Sidang Kemuncak ASEAN-New Zealand semalam.

Perdana Menteri turut menggesa anggota ASEAN dan New Zealand meningkatkan kerjasama terutama dalam isu mendesak yang memberi kesan terhadap kehidupan rakyat seperti alam sekitar dan perubahan iklim.

“Dengan kesungguhan dan kemahuan politik, saya yakin kita dapat memastikan perubahan bermakna dalam cara hidup kita ke arah menangani perubahan iklim global,” katanya.

Dialog ASEAN-New Zealand berkembang pesat sejak 45 tahun lalu.

Ia tergambar menerusi langkah mengukuhkan kerangka kerjasama antara ASEAN dan New Zealand dalam beberapa bidang utama seperti keselamatan politik, ekonomi dan sosiobudaya, di bawah pelaksanaan Pelan Tindakan ASEAN-New Zealand (2016-2020).

New Zealand menjadi Rakan Dialog ASEAN pada 1975.

Pada ulang tahun Sidang Kemuncak ASEAN-New Zealand ke-40 pada 2015, anggota persidangan mengumumkan hubungan dialog ASEAN-New Zealand dinaik taraf ke peringkat strategik.

  • Bernama