Ketua Polis Negara kunjungi Tun Abdullah

MESRA… Tun Abdullah Ahmad Badawi berbual mesra ketika menerima kunjungan hormat dari Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador di kediamannya Taman Tun Dr Ismail semalam. • Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Selepas kira-kira tiga bulan tersebarnya berita palsu mengenai kematian Tun Abdullah Ahmad Badawi, Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador semalam mengunjungi bekas perdana menteri itu, bagi memaklumkan status siasatan kes berkenaan.

Abdul Hamid meluangkan masa kira-kira sejam bertemu dan bertanya khabar kepada Abdullah serta isterinya Tun Jeanne Abdullah, di kediaman mereka di sini.

Ketika ditemui Bernama selepas itu, Abdul Hamid berkata, beliau mengambil tanggungjawab untuk hadir sendiri menemui Abdullah yang lebih dikenali sebagai Pak Lah, bagi memaklumkan mengenai siasatan kes itu.

Jelasnya, dua individu termasuk penulis artikel telah dipanggil bagi memberi keterangan berhubung penularan berita berkenaan.

“Pihak saya telah melakukan siasatan dan daripada siasatan tersebut, kita dapati apa yang ditulis tidak mempunyai niat tidak baik…salah komunikasi, tersilap.

Kita telah mengambil tindakan memanggil penulis artikel tersebut dan semuanya dah tidak ada apa-apa, tiada kes,” katanya.

Katanya, siasatan juga mendapati seorang lagi individu menyebarkan perkara tersebut kerana menyangka ia merupakan berita yang betul, tanpa sebarang niat untuk mengaib dan memalukan sesiapa.

Justeru , Abdul Hamid meminta orang ramai supaya tidak menyebarkan berita tidak sahih,sebaliknya membuat semakan terlebih dahulu dengan pihak bertanggungjawab.

Pada 10 Ogos lalu, Pegawai Khas Abdullah Datuk Jefridin Atan membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya, berhubung penyebaran berita palsu sebanyak dua kali dalam masa seminggu yang menurutnya tidak boleh dipandang ringan, kerana ia melibatkan hal berkaitan perdana menteri kelima.

Dalam pada itu, Jeanne berkata, kesihatan suami beliau yang bakal menyambut ulang tahun ke-81 pada 26 November ini adalah baik.

“Tun (Abdullah) selalu bersiar-siar di halaman rumah, beliau ‘okay’,” katanya, ringkas.- Bernama