MARDI hasilkan varieti padi MR315

SERDANG, 15 Nov (Bernama) — Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) berjaya menghasilkan varieti padi baharu dikenali sebagai MR 315 yang boleh mengeluarkan lebih banyak hasil selain mempunyai daya tahan serangan penyakit. 

Pengarah Pusat Penyelidikan Padi dan Beras MARDI Dr Asfaliza Ramli berkata varieti padi baharu itu, yang dijangka diperkenalkan dua tahun lagi mula dibangunkan pada 2011 menggunakan induk MR 253 serta MR 263. 

“MR 315 dihasilkan mengikut perubahan cuaca dan keadaan tanah yang berbeza. Kita hasilkan jenis padi tertentu untuk tuaian padi yang lebih banyak selain mempunyai daya tahan terhadap penyakit dan perosak utama padi,” katanya dalam temu bual dengan Bernama di ibu pejabat MARDI, di sini, baru-baru ini.

Katanya, penghasilan varieti baharu itu adalah antara kejayaan penyelidikan institut tersebut dalam merangka program pembaikbiakan varieti padi agar lebih versatil dengan menumpukan kepada setiap permasalahan petani.

Selain itu, Asfaliza berkata MARDI juga telah merangka pembangunan kira-kira 10 varieti padi baharu bagi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) khusus untuk kawasan jelapang, luar jelapang, kemarau, air masin dan padi bukit. 

“Kita menjangkakan dalam tempoh lima tahun lagi, kesemua varieti itu dapat diperkenalkan atau diisytiharkan bagi membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi petani,” katanya. 

Berkongsi proses pembangunan varieti padi, Asfaliza berkata ia melibatkan proses tertentu bermula daripada saringan dan penilaian benih berkualiti sebelum ia dibentangkan kepada Jawatankuasa Bantuan Kerajaan Kepada Industri Padi dan Beras, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) yang kemudiannya mengisytiharkan sesuatu varieti baharu.

SEGAR DAN BERMUTU

“Sesuatu varieti yang telah disahkan di MAFI seterusnya akan menjalani proses penghasilan benih baka dan seterusnya benih asas. Selepas selesai proses berkenaan, benih itu akan diberikan kepada sembilan pengeluar yang dilantik MAFI,” katanya.

Katanya institusi itu akan memastikan varieti padi baharu yang dihasilkan lebih segar dan bermutu selain memenuhi atau melebihi cita rasa pengguna, sesuai dengan slogan ‘Makan Nasi, Ingat MARDI’.

Menurut Asfaliza, MARDI juga sentiasa bekerja rapat dengan Institut Penyelidikan Beras Antarabangsa (IRRI) bagi menghasilkan varieti benih padi yang berkualiti.

“Kita telah menghasilkan varieti padi mengikut hendak pengguna. Daripada beras putih, kini telah ada beras wangi dan sekarang ada beras warna yang memberi nilai tambah kepada beras biasa dan juga  untuk memenuhi kehendak pasaran,” katanya.

Sejak 1969 hingga kini, Asfaliza berkata MARDI sudah mengisytiharkan 50 varieti padi untuk ditanam para petani, yang mana setiap varieti mempunyai kelebihan masing-masing dari segi ketahanan terhadap penyakit, hasil dan rasa.

“Kepelbagaian genetik dalam ekosistem penanaman padi ini penting untuk memberi lebih pilihan kepada pesawah selain memastikan bekalan makanan ruji negara sentiasa terjamin,” katanya.

Katanya, lebih 95 peratus daripada kawasan tanaman padi di Malaysia menggunakan varieti padi yang dihasilkan MARDI.

— BERNAMA