Famalia FT lakar sejarah tersendiri

TAHNIAH … Exco Saberkas Sarawak, Alfred Kendim menyampaikan piala juara kepada ketua pasukan Famalia FT.

PASUKAN Famalia FT melakar sejarah tersendiri apabila berjaya merangkul gelaran juara Futsal Piala YB Datuk Francis Harden Hollis bersempena Karnival Sukan Saberkas (KASUS) Cawangan Simanggang dekat sini semalam.

Famalia FT yang muncul sebagai juara itu telah menewaskan pasukan Kameroshi dengan jaringan 3-2 melalui penentuan sepakan penalti setelah kedua-dua pasukan terikat 1-1 pada aksi perlawanan akhir di Dewan Kompleks Sukan Sri Aman.

Dengan kejuaraan itu, Famalia FT berjaya membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM700, piala iringan dan medal manakala Kameroshi selaku naib juara pulang dengan hadiah wang tunai sebanyak RM500 beserta piala iringan dan medal.

Sementara itu, perebutan di tempat ketiga pula menyaksikan pasukan C.K.T Ft A pula turut memperolehi kemenangan selepas menewaskan pasukan Milo Dinosour 3-2.

Dengan itu, pasukan pasukan C.K.T Ft A berjaya membawa hadiah wang tunai sebanyak RM300, piala beserta medal manakala pasukan Milo Dinosour hanya membawa pulang medal sahaja.

Sebanyak 32 buah pasukan telah menghantar penyertaan pada kejohanan yang telah berlangsung selama dua hari tersebut.

Kesemua hadiah pemenang telah disampaikan oleh Exco Saberkas Sarawak, Alfred Kendim yang mewakili Menteri Muda Kesejahteraan Komuniti Datuk Francis Harden Hollis.

Oleh Adi Safarman