Pembalak haram tumpas

DIRAMPAS… Sebuah jentolak turut dirampas dalam operasi yang dijalankan oleh Jabatan Hutan Sarawak (JHS) di kawasan Sungai Sut, Kapit pada 3 November lepas

KAPIT: Ketangkasan penguatkuasa Jabatan Hutan Sarawak (JHS) bersama Pasukan Gerakan Am (PGA) baru-baru ini berjaya menggagalkan aktiviti pembalakan haram di Kapit daripada terus berleluasa.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Hutan Sarawak (JHS), operasi tersebut berjaya menyita jentolak, jengkaut dan 46 batang kayu balak haram daripada pelbagai jenis.

“Operasi itu telah dijalankan di kawasan Sungai Sut, Kapit pada 3 November lepas sekitar jam 6.00 petang setelah mendapati aktiviti pembalakan yang dijalankan itu tiada lesen yang sah,” katanya dalam kenyataan media di sini, semalam.

JHS turut memaklumkan, anggaran rampasan itu bernilai RM10,000.
“Berdasarkan nilai royalti kayu balak dan mesin-mesin jumlah keseluruhan dianggarkan bernilai RM95,000. Kesemua barang kes seperti mesin dan kayu balak telah diletakkan dibawah jagaan JHS dan siasatan lanjut akan dilaksanakan,” ujarnya.

Dalam pada itu, JHS turut berkata, rampasan mesin dan kayu balak itu dilaksanakan dengan jayanya melalui maklumat risikan dan pemantauan yang dijalankan.

“Kakitangan penguatkuasa Jabatan Hutan Sarawak akan membuat risikan dan pemantauan secara berterusan bagi membanteras aktiviti pembalakan haram khususnya di Kapit.

“Selaras dengan fungsi dan tanggungjawab JHS dalam menjaga dan memelihara hutan, JHS akan sentiasa mempergiatkan dan meningkatkan lagi aktiviti penguatkuasaan hutan melalui operasi darat, sungai dan udara secara berterusan bagi membanteras segala aktiviti pembalakan haram di kawasan hutan Sarawak secara amnya.

Justeru itu, JHS turut menegaskan, tindakan keras dibawah peruntukan The Forest Ordinance, 2015 akan dikenakan terhadap mana-mana individu atau organisasi yang didapati bersalah menjalankan aktiviti pembalakan haram.
“Jika sabit kesalahan mereka boleh dikenakan denda tidak kurang daripada RM20,000 dan tidak melebihi RM150,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-dua sekali.

“Sekiranya didapati bersalah melakukan kesalahan berulang akan dikenakan denda tidak kurang daripada RM150,000 dan tidak melebihi RM500,000 atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali.
“Ini adalah untuk memastikan penjagaan dan pemeliharaan hutan negeri Sarawak dapat dilaksanakan dengan baik dan jayanya.

Jabatan Hutan Sarawak menyeru orang ramai untuk menyalurkan maklumat mengenai segala kegiatan pembalakan haram yang berlaku di mana-mana kawasan hutan negeri.

Ini adalah untuk membolehkan Jabatan Hutan Sarawak mengambil tindakan terhadap kegiatan tersebut.

Maklumat boleh disalurkan melalui tali khidmat Kerajaan Negeri Sarawak pada talian hotline 1-800-88-7777 atau email www.forestry.gov.my.

Oleh Jeakqleyn Yacho