Harga MSM sekitar RM2,500-RM2,600 satu tan

“Memandangkan harga MSM di paras agak kukuh melebihi RM3,000 satu tan pada masa ini, unjuran berkenaan telah mengambil kira faktor penawaran, permintaan serta cuaca yang boleh menjejaskan pengeluaran. Walaupun keadaan agak baik bagi tempoh enam bulan akan datang, kami sebaliknya berpandangan konservatif mengenai pergerakan harga bagi
tahun penuh 2021.”-Datuk Haris Fadzilah Hassan

KUALA LUMPUR: FGV Holdings Bhd menyasarkan Minyak Sawit Mentah (MSM) diniagakan dalam jajaran harga RM2,500 hingga RM2,600 satu tan pada separuh pertama bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021 (TK21).

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Haris Fadzilah Hassan berkata, memandangkan harga MSM di paras agak kukuh melebihi RM3,000 satu tan pada masa ini, unjuran berkenaan telah mengambil kira faktor penawaran, permintaan serta cuaca yang boleh menjejaskan pengeluaran.

“Walaupun keadaan agak baik bagi tempoh enam bulan akan datang, kami sebaliknya berpandangan konservatif mengenai pergerakan harga bagi tahun penuh 2021,” katanya pada sesi taklimat media mengenai prestasi suku ketiga TK20 kumpulan itu, semalam.

Bagi suku keempat TK20, beliau berkata FGV menyasarkan hasil tandan buah segar dan MSM akan terjejas oleh ketidaktentuan cuaca serta perintah kawalan di Sabah dengan harga MSM kekal kukuh sehingga akhir tahun ini.

Mengulas isu kekurangan tenaga kerja asing, beliau berkata kumpulan itu menjangkakan 90 peratus daripada keseluruhan keperluan tenaga terbabit dapat dipenuhi dalam suku semasa walaupun ia berkurangan empat peratus daripada suku ketiga TK20.

Bagi 2021, beliau berkata FGV akan terus berpandukan dasar kerajaan berhubung pengambilan tenaga kerja asing bagi menangani kekurangan tersebut yang merupakan antara faktor mempengaruhi pengeluaran komoditi itu.

“Bagi perniagaan gula, peningkatan kapasiti MSM Malaysia Holdings Bhd bagi produk nilai tambah membabitkan gula cecair dan sirap di MSM Johor, dijangka siap pada suku keempat TK20.

“Mereka akan turut meneruskan kaedah pemerolehan gula mentah pada 2021 yang menyamai dengan apa yang telah diusahakan pada tahun ini,” katanya.

Mengulas prestasi perniagaan logistik, beliau berkata kumpulan itu telah berjaya mendapat kontrak luar baharu selama tiga tahun daripada seorang pelanggan membabitkan usaha mengangkut 165,000 tan MSM setahun.

Pada masa sama, kumpulan itu akan turut menyaksikan kemudahan penyimpanan tambahan berkapasiti 15,600 tan di Pasir Gudang, Johor dan Pelabuhan Klang, Selangor, dapat disiapkan.

Haris Fadzilah berkata, bagi perniagaan makanan baharu terutamanya produk-produk pengguna dan usaha secara bersepadu, FGV setakat ini telah melancarkan tiga makanan perlu di bawah jenama utamanya SAJI iaitu beras, gula halus dan santan.

Menurutnya, FGV turut menerima lesen borong beras oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani pada Jun lepas yang akan membuka peluang baharu dalam perniagaan tersebut.

Ini termasuk memulakan penanaman 28 hektar benih padi wangi MRQ76 di Sungai Leman, Selangor dan Seberang Perak, Perak.

Benih MRQ76 itu yang dijadualkan dituai menjelang Januari 2021, akan digunakan bagi memulakan skim kontrak FGV seluas 500 hektar.

“Selain itu, terdapat kilang susu segar menerusi ladang kami di Linggi yang berkapasiti 30,000 liter sehari dengan kemudahan itu dibina dan dijangka siap pada separuh pertama 2021,” katanya.

Ladang berkenaan sebelum ini menjalani kerja-kerja naik taraf dan akan diteliti menjelang pertengahan Disember 2020 sebelum menerima kumpulan baharu 132 ekor lembu dari Australia.

Mengulas isu tindakan Jabatan Perlindungan Sempadan dan Kastam (CBP) Amerika Syarikat (AS) berhubung perintah sekatan pelepasan minyak sawit FGV dan produk berasaskannya, beliau berkata kumpulan itu komited untuk mengambil semua langkah sewajarnya bagi pembatalan arahan tersebut.- Bernama