Lagi kes pembalakan haram

SERBUAN OPS LIBAS… Pasukan Cawangan Risik Batalion 10 PGA Sibu menjalankan serbuan di Jalan Bukit Engkrabai, Lubok Bemban, Mukah semalam.

SIBU: Pasukan Gerakan Am (PGA) Sibu berjaya menumpaskan kegiatan pembalakan haram di Jalan Bukit Engkrabai, Lubok Bemban, Mukah semalam.

Komander Briged Sarawak, SAC Mancha Ata berkata, ketika operasi berkenaan pihaknya berjaya menahan dua lelaki tempatan serta merampas 80 batang kayu balak, jentera dan pelbagai peralatan.

“Hasil pemeriksaan dalam serbuan Ops Libas yang dijalankan oleh pasukan dari Cawangan Risik Batalion 10 PGA, Sibu telah mendapati kawasan pembalakan terbabit dipercayai menjalankan aktiviti pembalakan secara haram.

“Dua lelaki berusia 36 dan 41 tahun pekerja kem pembalakan terbabit ditahan kerana gagal menunjukkan sebarang dokumen berkaitan dengan aktiviti pembalakan yang dijalankan di lokasi serbuan,” jelasnya menerusi satu kenyataan semalam.

Katanya, antara barang yang dirampas ialah kayu balak pelbagai saiz yang telah ditebang, tiga buah jengkaut, sebuah lori, satu unit chainsaw, dua buah pam air serta sebuah generator dengan anggaran keseluruhan rampasan bernilai RM793,500.

“Tangkapan serta rampasan telah diserahkan kepada pihak Jabatan Hutan Wilayah Sibu untuk tindakan dan siasatan di bawah Seksyen 96, Ordinan Hutan Sarawak 2015,” tegasnya.

Sementara itu, Mancha Ata memberitahu, dalam operasi yang dijalankan bermula awal tahun ini sehingga semalam (17 November 2020), Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sarawak telah mencapai kejayaan besar dengan nilai rampasan sebanyak RM35,917,417.

Komander Briged Sarawak, SAC Mancha Ata berkata, jumlah itu melibatkan 149 kes dengan 412 tangkapan suspek termasuk 182 orang warga tempatan dan 230 orang pendatang asing tanpa izin (PATI).

Oleh AKUN GIMAN / CONNIE CHIENG