Projek RTP Kampung Bintawa Batu siap dilaksanakan

TINJAU… Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi Bersama jkkk kampung melihat kawasan projek semasa menghadiri Majlis Penyerahan Projek RTP daripada agensi pelaksana kepada JKKK di Tinggian Demak Kampung Bintawa Batu, Kuching semalam.

KUCHING: Sebuah projek di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) telah disiapkan di Kampung Bintawa Batu yang juga kampung di bawah Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Damai.

Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam dan DBKU) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, projek RTP tersebut menggunakan dana sebanyak RM120,000 dan DBKU dipertanggungjawabkan sebagai agensi pelaksana.

Projek RTP tersebut merangkumi sebuah gelanggang sepak takraw, bumbung dan juga lampu limpah (spotlight).

Tambahnya lagi, projek RTP tersebut diberikan kepada Kampung Bintawa Batu kerana kampung tersebut pernah melahirkan pemain-pemain sepak takraw yang berkaliber.

“Meskipun pada suatu ketika dahulu mereka hanya bermain di padang yang sederhana, padang tanah akan tetapi mereka mampu melahirkan pemain yang berkaliber yang bukan hanya menjadi wakil Kampung Bintawa Batu, bahkan turut mewakili kawasan Pantai Damai, bahagian Kuching dan ada juga yang mampu mewakili Sarawak ke peringkat kebangsaan,” ujarnya.

Majlis Penyerahan Projek RTP tersebut telah disempurnakan oleh Timbalan Pengarah Jabatan Perkhidmatan Infrastruktur (INS) Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), Mohamad Faisal Adenan kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung di gelanggang sepak takraw Kampung Bintawa Batu.

Mengulas lebih lanjut, Dr. Abdul Rahman menzahirkan rasa bangga dan memberi kepercayaan kepada penggiat sukan sepak taraw di kampung tersebut untuk terus meningkatkan usaha dan prestasi sukan sepak takraw di Kampung Bintawa Batu.

Di samping itu, beliau juga menyatakan bahawa projek RTP tersebut istimewa kerana ia telah dipohon oleh penduduk kampung di kawasan tersebut.

“Projek RTP ini amat menarik kerana ia dimohon oleh penduduk kampung dan berbeza dengan projek-projek lain.

“Projek RTP ini meskipun ia kecil akan tetapi setelah ia siap, ia terus mampu untuk memberi manfaat kepada penduduk kampung,” ulasnya selepas Majlis Penyerahan Projek RTP di gelanggang sepak takraw Kampung Bintawa Batu tersebut.

Menurut Junaidi, pada tahun ini terdapat 34 buah projek RTP yang dilaksanakan di kawasan Pantai Damai dan 37 buah projek RTP dicadangkan untuk dilaksanakan pada tahun 2021.

Tambahnya lagi, beliau berharap JKKK mampu menjaga gelanggang sepak takraw itu dengan sebaiknya agar ia mampu digunakan untuk jangka masa yang panjang.

Oleh RYNNA SHA’ERRA