PPS Bintulu akan ditambah

BINCANG… Jack Aman (dua,kanan) pada sidang media Mesyuarat JPBB Bintulu di Pejabat Residen Bintulu semalam.

BINTULU: Pusat Pemindahan Sementara (PPS) bagi Bahagian Bintulu akan ditambah terutamanya di kawasan pedalaman bagi persiapan menghadapi musim tengkujuh tidak lama lagi.

Residen Bahagian Bintulu, Jack Aman Luat berkata, proses mengenal pasti lokasi yang bersesuaian untuk penambahan PPS itu akan dilakukan dengan kerjasama agensi-agensi berkaitan.

“Untuk Daerah Bintulu, kita mempunyai 11 PPS tahun lepas dan menambah sebuah lagi pada mesyuarat hari ini iaitu di Balai Raya Kampung Asyakirin Fasa 1.

“Bagi Daerah Tatau pula, jumlah PPS yang ada adalah 11 manakala empat untuk Daerah Sebauh,” katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Bintulu.

Beliau mendedahkan perkara tersebut pada sidang media Mesyuarat JPBB Bintulu di Bilik Mesyuarat Sri Bintulu, Pejabat Residen Bintulu di sini, semalam.

“Selain daripada itu, menerusi mesyuarat tadi, kita telah meminta Pejabat Daerah dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta agensi lain yang berkaitan bagi mengenal pasti lokasi yang sesuai untuk pembukaan PPS terutamanya pedalaman bagi.

“Jadi, ia bukan sahaja dibuka di kawasan bandar tetapi di kawasan yang mempunyai banyak rumah panjang dan kampung-kampung,” ujar beliau.
Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai adakah sekolah berhampiran akan dijadikan sebagai PPS bagi menempatkan penduduk sekitar yang terjejas, Jack tidak menolak kemungkinan tersebut.

“Kita akan merujuk kepada pihak Pejabat Pendidikan Daerah Bintulu dan juga Sebauh serta Tatau untuk perkara ini terutama yang membabitkan pemindahan penduduk rumah panjang yang terletak di kawasan pedalaman,” ujarnya.

Turut hadir, Timbalan Ketua Polis Daerah Bintulu, Deputi Superintenden Jame Reis, Pegawai Daerah Bintulu, Mohamad Dino Amid, Pegawai Daerah Sebauh William Manggoi dan Pegawai Daerah Tatau Barayan Lenya.

Oleh CAROLYNE UTIH