Pasar raya mini di masjid Turki

PASAR RAYA mini disediakan dalam masjid untuk bantugolongan memerlukan. -Foto AFP

ISTANBUL:Masjid Dedeman menempatkan sebuah ‘pasar raya’ mini untuk golongan yang terjejas akibat pandemik koronavirus (Covid-19).

Imam Masjid Dedeman di daerah Sariyer, Istanbul Abdul Samet Cakir, 33, memulakan idea membantu golongan miskin di tempat beribadah selepas Turki menggantung solat jemaah di seluruh masjid.

“Selepas solat berjemaah digantung di masjid, saya mempunyai idea untuk menghidupkan kembali masjid-masjid dengan menyatukan golongan berkemampuan dengan golongan yang memerlukan,” kata Imam Cakir kepada AFP.

Beliau berkata, masjid menyediakan khidmat tersebut sejak dua minggu lalu dan mendekati sekitar 120 individu memerlukan setiap hari.

“Senarai bantuan itu mempunyai lebih daripada 900 orang.

“Kami juga melakukan jarak sosial serta memakai penutup hidung dan mulut dan dibenarkan dua orang masuk ke masjid untuk mengambil apa-apa yang diperlukan.” katanya.

Masjid itu juga tidak menerima derma dalam bentuk wang tunai tetapi sebaliknya menerima pakej bantuan.

Rak-rak masjid itu juga dipenuhi barangan yang dihantar dari seluruh Turki dan juga dari luar negara.

“Semua orang melakukan apa sahaja untuk membantu mereka yang memerlukan. Misalnya, seorang lelaki Muslim yang tinggal di Perancis membuat pembelian dalam talian dan menghantar bantuan ke masjid kita,” katanya.

Antara barangan dapur seperti pasta, botol minyak, biskut dan lain-lain.