Peranan media massa masih relevan

TERIMA KASIH.. Media tempatan merakamkan gambar dengan Hamdiah, Dzulkiflie dan Salihin pada majlis tersebut.

MUKAH: Peranan media massa masih relevan dan amat diperlukan di dalam menyalurkan maklumat yang tepat kepada masyarakat.

Menurut Residen Bahagian Mukah, Hamdiah Bakir, walaupun Teknologi Maklumat (IT) semakin canggih dan cepat berubah dengan adanya medium seperti Whatsapp, Facebook, Instagram, Twitter dan sebagainya untuk menyampaikan berita atau menularkan berita dengan lebih cepat,  peranan media masih amat diperlukan untuk memastikan berita sahih dan benar.

Beliau berkata demikian pada Majlis Apresiasi Kepenggunaan Bersama Media dan Rakan Kepenggunaan  di Hotel Kingwood Mukah, pada malam Selasa lalu.

Program santai yang bertemakan ‘Floral Denim’ dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) itu merupakan  anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna(KPDNHEP) Cawangan Mukah.

Di dalam konteks KPDNHEP dan media pula, beliau berharap hubungan baik yang telah terbina dan terjalin akan berkekalan.

“Kami memerlukan anda semua untuk melaporkan tentang pelbagai isu kepenggunaan dan aktiviti KPDNHEP kepada masyarakat pengguna bagi tujuan pendidikan dan peringatan.

Marilah kita bersama-bersama berganding bahu dalam merealisasikan hasrat kerajaan untuk melahirkan masyarakat  pengguna yang berwibawa serta peniaga yang beretika,” tambahnya.

Hamdiah yang juga menggalas tanggungjawab sebagai Pengerusi bersama Gerakan Pengguna Bahagian Mukah (GPBM), turut menyentuh mengenai peranan di peringkat negara.

“Kita tidak boleh menafikan peranan wartawan dan media massa dalam pembangunan dan pemodenan negara. Ini kerana, melalui penulisan mereka, ia dapat mengubah pemikiran masyarakat.

Malah kekuatan yang ada pada ketajaman penulisan mereka boleh menjatuhkan atau membangunkan sesebuah negara. Betullah seperti kata pepatah; Mata Pena Lebih Tajam Dari Mata Pedang,” kata beliau lagi.

Hamdiah menambah kata, media bertindak sebagai penghubung yang mendekatkan kerajaan dengan masyarakat menerusi liputan dan kupasan yang diterbitkan serta mempromosikan pelbagai isu dan aktiviti kepenggunan berkaitan sepanjang tahun 2020.

Berkisar mengenai Program FoodBank Bahagian Mukah, terutama untuk siswa, beliau berkata ia melibatkan dua buah syarikat korporat, sebuah syarikat perladangan, sebuah pasar raya, dua  stesen minyak,  dua kedai roti   dan dua syarikat swasta lain.

“GPBM amat mengalu-alukan penyertaan dari pelbagai pihak sebagai penyumbang dalam usaha mencapai matlamat membantu golongan pelajar kurang berkemampuan.

Pada masa sama, pihak kami berhasrat agar program ini dapat dilaksanakan sampai bila-bila dengan penglibatan lebih banyak penyumbang yang tampil pada masa hadapan,” kata beliau lagi.

Turut hadir,  Ketua Seksyen Pendaya Upayaan & Kepenggunaan KPDNHEP, Mohammad Dzulkiflie Pathi, Pemangku Timbalan Residen, Shafrie Saili, Ketua Cawangan KPDNHEP Mukah, Salihin Den,  Pemangku Pegawai Daerah Mukah, Peleadzman Ahip dan Pegawai Pelajaran Daerah Mukah, Salemah Chali.

Oleh HENRY B SIYU