CONGO ‘bermandi darah’

PARA penduduk melarikan diri daripada pemberontak di Timur Congo selepas insiden tembakan berlaku semalam. • Foto AFP

YAOUNDE: Congo seolah-olah ‘bermandi darah’ apabila sekurang-kurangnya 35 penduduk maut akibat dibunuh pemberontak di timur Congo, lapor agensi Anadolu.

Pada masa sama,, empat orang terbunuh manakala beberapa lagi cedera selepas pemberontak menyerang Kampung Kokola di Beni dekat wilayah Kivu Utara, menurut laporan Radio Okapi kendalian Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pada Selesa, yang memetik pegawai kerajaan.

Kumpulan pemberontak dari Uganda, Pasukan Demokratik Bersekutu (ADF) dituding dalang melakukan serangan kejam itu.

Dalam kejadian berasingan, 29 mayat ditemui pada Isnin hasil rondaan tentera Congo di kawasan Mwalika di Beni.

“Setakat ini sekurang-kurangnya 811 orang awam terbunuh di wilayah ini sejak 31 Oktober 2019,” kata Pasukan Keselamatan Kivu (KST) iaitu projek bersama dengan Kumpulan Penyelidikan Congo dan Pemerhati Hak Asasi Manusia.

“Serangan di Kokola berlaku sekitar 6.00 pagi waktu tempatan. Buat masa ini, tidak ada penduduk dipindahkan. Kami meminta penduduk untuk kekal bertenang,” kata pegawai pentadbiran di wilayah Eringeti, Sabiti Mbafumoja seperti dipetik laporan Radio Okapi.

Beliau mendakwa, mangsa yang cedera dibawa ke hospital tempatan.

Negara di Afrika Tengah itu bergelut bagi memerangi kumpulan pemberontak sejak lebih dua dekad lalu.

ADF yang muncul timur laut Uganda pada 90-an, menyerang dan membunuh orang awam di Congo selama beberapa dekad.

Menurut PBB, eksploitasi sumber asli secara haram terus menjadi punca dan pencetus konflik di timur negara itu.

Sementara itu, di Nairobi elaki bersenjata membunuh puluhan orang dalam serangan ke atas sebuah bas penumpang di barat Ethiopia.

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Ethiopia (EHRC) dalam satu kenyataan berkata berlaku ‘serangan mengerikan’ terhadap sebuah bas penumpang dari Wonbera ke Chagni di wilayah Benishangul-Gumuz dan 34 kematian telah disahkan, dan menjangkakan jumlah kematian kemungkinan meningkat.

Serangan itu berlaku Sabtu malam di kawasan terpencil antara Wonbera dan Chagni.

Tidak ada kumpulan yang mengaku bertanggungjawab setakat ini, dengan pegawai keselamatan memberitahu media tempatan bahawa tidak ada bukti langsung yang mengaitkan serangan itu dengan konflik di wilayah Tigray utara Ethiopia.

Serangan itu berlaku ketika penduduk terus melarikan diri dari wilayah itu. Kira-kira 25,000 rakyat Ethiopia telah menyeberang ke Sudan untuk melarikan diri dari pertempuran, menurut pegawai Sudan.

Pada 4 November, Ethiopia melancarkan apa yang digambarkannya sebagai operasi penguatkuasaan undang-undang di Tigray selepas Pasukan Hadapan Pembebasan Rakyat Tigray (TPLF) menyerang kem utara tentera Ethiopia yang ditempatkan di sana. – Bernama