Kerajaan iktiraf tanah NCR

KENANGAN… Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan merakamkan gambar bersama para penerima selepas menyempurnakan Majlis Majlis Penyerahan Cek Pampasan Tanah dan Surat Hak Milik Tanah di Belaga, semalam.

BINTULU: Seramai 181 pemilik tanah yang terlibat dalam tiga projek di kawasan Belaga dan Bakun menerima pampasan berjumlah RM1,419,160.34.

Tiga projek tersebut ialah Projek Jalan Masuk ke Uma Sambop, Belaga, Projek Jalan Bakun Bypass dan Projek naik taraf pembinaan Jalan Belaga ke Menjawah.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan menyampaikan cek pampasan itu pada majlis yang berlangsung di Dewan Masyarakat Belaga, semalam.

Awang Tengah yang juga Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Asli Kedua turut menyerahkan sebanyak 62 surat hak milik tanah Seksyen 18 kepada 55 pemilik bagi kawasan Batang Rajang, Balui Belaga.

Beliau dalam ucapannya berkata, Kerajaan Sarawak sentiasa mengiktiraf dan mempertahankan hak rakyat ke atas tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) mereka jika tuntutan tersebut adalah sahih mengikut perundangan.

“Malahan, usaha pengukuran dan pengeluaran surat hak milik tanah NCR telah dilaksanakan oleh Kerajaan sejak tahun 1960-an sehingga diselesaikan atau ditarik balik oleh mereka yang terlibat.

“Namun begitu, sekiranya mahu menyertai Program Pengukuran Tanah NCR Inisiatif Baharu ini semula, permohonan baharu perlulah dikemukakan,” katanya.

Tambah Awang Tengah, dari tahun 2010 hingga kini ini, Jabatan Tanah dan Survei Sarawak telah pun berjaya menyukat secara perimeter seluas lebih kurang 952,905 hektar (2.354 juta ekar).

“Daripada jumlah tersebut, seluas 753,456 hektar atau 1.8 juta ekar telah pun diwartakan.

“Bayangkan betapa jauh perbezaan ‘output’ penyukatan melalui Program Pengukuran Tanah NCR Inisiatif Baharu (2010 hingga kini) berbanding program penyukatan lama (1960-2010),” jelasnya.

Oleh itu, beliau memberitahu, ia adalah program penyukatan yang efisien dan sangat penting dalam menentukan persempadanan tanah NCR yang jelas serta didaftarkan di dalam daftar tanah dan Warta Rizab Komunal Bumiputera di bawah seksyen 6 Kanun Tanah Negeri dikeluarkan.

“Pada peringkat kedua, kita melaksanakan pengukuran secara lot individu berdasarkan permohonan yang diluluskan, kawasan tersebut telah pun disukat secara perimeter, diwartakan di bawah seksyen 6 Kanun Tanah Negeri dan kesediaan penuntut tanah NCR terbabit,” ujarnya lagi.

Oleh CAROLYNE UTIH