Rumah pekerja musnah terbakar

MUSNAH… Anggota Bomba bertungkus lumus memadam api yang telah memusnahkan sebuah rumah pekerja di Jalan Stutong di Kuching semalam.• Foto ANDRE OLIVEIRO.

KUCHING: Sebuah rumah pekerja musnah sepenuhnya dalam satu kebakaran di Jalan Stutong, di sini, petang semalam.

Menurut Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatam Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, pihaknya telah menerima laporan berkenaan satu kepulan asap yang dilihat keluar dari bangunan tersebut pada jam 4.41 petang.

“Sejurus selepas mendapat laporan, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Lintang dan Tabuan telah dikerahkan ke lokasi kejadian bagi usaha memadamkan kebakaran.

“Setibanya Ketua Operasi di lokasi tersebut, didapati sebuah bangunan dipercayai rumah pekerja dengan struktur tidak kekal telah terbakar sepenuhnya,” katanya, menerusi kenyataan semalam.

Tambahnya, pasukan operasi terus bertindak memadamkan kebakaran yang masih marak tersebut.

Siasatan awal menunjukkan bangunan tersebut tidak berpenghuni ketika kebakaran berlaku.

Punca kebarakan dan anggaran kerugian masih dalam siasatan.

Oleh AKMAL ADIB YUSUP