Kastam patahkan cubaan seludup minuman keras bernilai RM1.46 juta

BERJAYA DITUMPASKAN…Antara minuman keras pelbagai jenama dan bahan binaan yang dirampas dalam operasi khas di Pelabuhan Rejang Sibu.

SIBU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sarawak mematahkan cubaan menyeludup 19 kontena minuman keras pelbagai jenama bernilai RM1.46 juta termasuk cukai dalam satu operasi khas di Pelabuhan Rejang Sibu pada 23 Oktober lalu.

Pengarah Kastam Negeri Sarawak, Herman Shah Abdullah berkata, barangan yang dirampas termasuk 12,172.01 liter (dalam anggaran) pelbagai jenama minuman keras.

Menurutnya, seramai lapan orang ejen kastam yang membuat pengikraran dagangan tersebut turut ditahan untuk membantu siasatan.

“Operasi khas sekitar jam 12.40 tengah hari itu dijalankan bersama Cawangan Operasi Darat JKDM Kuching dan Pusat Risikan Kastam Zon 6, Sarawak, dengan memberi fokus kepada pengikraran dagangan import serta dagangan yang dipindahkan dari wilayah yang lain.

“Ia bagi memastikan dagangan yang dibawa masuk diikrar dengan betul dan benar selaras dengan kehendak seksyen 79 Akta Kastam 1967,” jelasnya menerusi kenyataan semalam.

Katanya, kesemua 19 unit kontena tersebut serta barangan kes telah disita dan dibawa ke Stor Penguatkuasaan Sibu, Jalan Deshon.

Beliau memberitahu, modus operandi pihak ejen dan pengimport yang terbabit telah mengikrar dagangan sebagai barangan campur (China goods) dan mengikrar barangan di bawah kod tarif yang tidak bercukai atau peratusan cukai yang paling rendah.

“Pihak Kastam percaya dagangan juga diikrar sebagai barangan console dengan kuantiti tidak tepat atau kurang ikrar untuk mengelak daripada membayar cukai yang tinggi,” ujarnya.

Katanya, pemeriksaan dokumen serta pemeriksaan fizikal dijalankan bagi memastikan tiada unsur-unsur pengelakan pembayaran duti atau cukai atau frod serta lain-lain pelanggaran peruntukan akta berlaku.

“Barangan yang memerlukan permit import seperti bahan binaan dan minuman keras sengaja dimuatkan dan disembunyikan di bahagian belakang kontena serta ditutupi dengan barangan campur lain bagi mengelirukan pegawai Kastam yang membuat pemeriksaan.

“Bagaimanapun, Pasukan Operasi Bahagian Penguatkuasaan yang melakukan pemeriksaan rapi mendapati sebahagian barangan tidak diikrar dengan betul dari segi kuantiti. Manakala, sesetengah barangan tidak diikrar langsung termasuklah 12,172.01 liter minuman keras pelbagai jenama yang memerlukan permit import selaras dengan peruntukan di bawah Perintah Kastam,” ujarnya lagi.

Tegasnya, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 133(1)(a) dan Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967.

Jika sabit kesalahan, pesalah boleh didenda tidak kurang dari 10 kali ganda amaun duti kastam atau RM100,000. mengikut mana-mana amaun yang lebih besar dan tidak melebihi 20 kali ganda nilai amaun duti kastam atau RM500,000. mengikut mana-mana amaun yang lebih besar ataupun penjara tidak kurang dari 6 bulan dan tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya sekali.

Oleh AKUN GIMAN