Beberapa negara dunia mula longgarkan perintah berkurung

ITALI, negara Eropah pertama yang melaksanakan perintah berkurung sejak tujuh minggu lalu, mula membenarkan beberapa pekerja pembinaan dan kilang kembali bertugas semalam. – Foto AFP

WASHINGTON: Beberapa negara Eropah dan negeri di Amerika Syarikat (AS) mula mengambil langkah menggerakkan semula ekonomi selepas terhenti secara tiba-tiba akibat penyebaran pandemik Covid-19, yang sudah meragut lebih 20,000 nyawa seluruh dunia.

Namun ketika sekolah dan kedai dibuka semula di beberapa bahagian di Eropah, Perdana Menteri Britain, Boris Johnson yang baharu pulih daripada jangkitan virus berbahaya itu meminta seluruh penduduk United Kingdom (UK) bersabar dengan berkata, adalah terlalu awal untuk mereka berbuat demikian.

Covid-19 meragut lebih 208,000 nyawa dan mejangkiti lebih tiga juta penduduk seluruh dunia, dengan AS mencatat jumlah kematian tertinggi iaitu melebihi 55,000.

Lebih separuh kematian berlaku di Eropah, dengan jumlah mencecah 126,000, Isnin.

Ketika beberapa negara Eropah yang terjejas teruk melaporkan penurunan jumlah kematian harian, kerajaan mula meneroka pendekatan untuk melonggarkan perintah berkurung.

Itali, negara Eropah pertama yang melaksanakan perintah berkurung sejak tujuh minggu lalu, mula membenarkan beberapa pekerja pembinaan dan kilang kembali bertugas semalam.

Bermula 4 Mei ini, semua rakyat Itali akan dibenarkan beriadah di luar rumah dan melawat saudara mara, tetapi hanya jika memakai penutup hidung dan mulut serta mengamalkan penjarakan sosial.

Restoran pula dibenarkan menyediakan perkhidmatan penghantaran makanan manakala kedai pemborong boleh memulakan perniagaan pada hari sama, diikuti kedai lain pada 18 Mei, bersama muzium dan perpustakaan.

Sepanyol, iaitu antara negara yang melaksanakan perintah berkurung paling ketat di dunia pula melonggarkan peraturan itu bermula Ahad lalu.

Orang ramai akan dibenarkan keluar beriadah atau bersiar-siar bermula 2 Mei ini. – AFP