SUPP Simanggang rekrut sekitar 100 ahli

LAWATAN… Pengerusi MPP, Lo Khere Chiang bersama Pengerusi JKKK Kampung Kuap, Bonita Andrew melawat ke kawasan projek naik taraf semasa hadir ‘road upgrading project final inspection’ di Kampung Quop, Kota Padawan semalam. • Foto ANDRE OLIVEIRO.

SRI AMAN: Pergerakan Wanita Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) cawangan Simanggang berjaya merekrut sekitar 100 ahli wanita baharu menerusi pelbagai aktiviti yang berlangsung dalam tempoh satu bulan ini.

Ketua Pergerakan Wanitanya, Kapitan Ling Siew Hung berkata, daripada jumlah tersebut 45 orang ahli baharu telah berjaya direkrut menerusi Program Santai yang diadakan berdekatan Rumah Empol, Sungai Tengak, Batu Lintang di sini, pada Isnin lepas.

“Saya masih belum dapat mendedahkan jumlah keseluruhan ahli wanita yang berjuang di bawah SUPP cawangan Simanggang memandangkan datanya masih belum dikemas kini lagi buat masa sekarang.

“Apa yang pasti ialah usaha kita untuk merekrut ahli baharu telah pun mendapat sambutan mengalakkan daripada kaum wanita di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simanggang dan akan diteruskan dari masa ke semasa,” kata beliau.

Selain itu, Ling juga berharap agar pihaknya dapat memperoleh lebih ramai ahli wanita yang baharu dalam kawasan bandar dan luar bandar DUN Simanggang ini bagi memperkukuhkan kekuatan SUPP.

Dengan adanya kekuatan tersebut, maka SUPP cawangan Simanggang kata beliau akan dapat melaksana lebih banyak aktiviti turun padang untuk membantu menyelesai masalah kebajikan hidup rakyat seperti yang dilakukan oleh pasukannya sebelum ini.

Terdahulu Pergerakan Wanita SUPP cawangan Simanggang telah menganjurkan Program Santai berdekatan Rumah Panjang Sungai Tengak, Batu Lintang bagi memperkukuh hubungan silaturahim antara ahli parti dan rakyat di sini.

Di samping mempromosi SUPP cawangan Simanggang terhadap rakyat, pihak Pergerakan Wanitanya juga turut membantu warga emas di situ untuk memohon kemudahan Kenyalang Gold Card.

Turut dilakukan juga membantu golongan orang kurang berkemampuan di kawasan itu untuk memohon mendapatkan bantuan daripada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di sini.

Oleh VALENTINE NGUMBANG