Pelajar sambut Deepavali di United Kingdom

DI PERANTAUAN… Menyambung pelajaran di London School of Economics (LSE) United Kingdom membolehkan M. Naviinesh, 20, (kanan) buat pertama kalinya merasai dan menerokai pelbagai perkara baharu dalam hidupnya, termasuklah ketika menyambut perayaan Deepavali baru-baru ini. • Foto BERNAMA

SEREMBAN: Menyambung pelajaran di London School of Economics (LSE) United Kingdom membolehkan M. Naviinesh, 20, buat pertama kalinya merasai dan menerokai pelbagai perkara baharu dalam hidupnya, termasuklah ketika menyambut perayaan Deepavali baru-baru ini.

Walaupun berada di perantauan tanpa kehadiran keluarga, anak kelahiran Seremban yang merupakan pelajar jurusan Perakaunan di universiti itu, tetap meraikan perayaan itu secara sederhana namun meriah.

Naviinesh berkata, sambutan Deepavali di United Kingdom juga disambut dalam suasana norma baharu sama seperti di tanah air, dengan amalan pemakaian pelitup muka, penjarakan fizikal serta larangan berkumpul yang turut ditekankan di negara berkenaan.

“Pengalaman menyambut perayaan Deepavali tanpa keluarga di sisi berikutan pandemik Covid-19 kali ini sungguh berbeza,namun meraikan bersama rakan senegara Isaac Chin, 18, dan Alex Iwanejko, 19, dari Poland, mengubati kesedihan saya.

“Suasana sambutan di sini juga berbeza kerana ramai juga masyarakat India di sini, sama ada di kampus mahupun di luar kampus yang kebanyakan mereka ini berasal dari utara India,” katanya, dalam kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Penglibatan Media Komunikasi Strategik Kumpulan Petronas kepada Bernama di sini.

Mengakui sambutan kali ini terpaksa dihadkan berikutan Covid-19, pelajar tajaan Petronas itu berkata, bagi menghidupkan suasana seperti di Malaysia, beliau dan rakannya bekerjasama menyediakan juadah meskipun ia sedikit berlainan dari segi rasa.

“Walaupun ia tidak sama seperti di Malaysia, tetapi cukup untuk kami menghidupkan semangat Deepavali itu. Antara juadah yang disediakan ialah ayam peratal,sambal udang, nasi briyani, palak paneer bersama naan, raita timun dan juga sup ayam herba.

“Selain itu, saya turut menerima kiriman kuih muih dan muruku daripada ibu di tanah air,” katanya.– Bernama