Mi Kampua ‘Terbang’ menu wajib jika ke Sibu

UNIK BEGINI CARANYA… Isteri Tang mempersembahkan teknik hebat Mi Kampua ‘Terbang ‘ di gerai mereka No.6A,Lorong 2, Jalan Aman, Sibu.

MI KAMPUA ‘Terbang’ antara menu yang wajib dicuba ketika berkunjung ke bandar Sibu. Mesti anda dengar macam pelik, macam mana mi itu boleh terbang. 

Menariknya, apabila anda berkunjung ke sebuah gerai di salah sebuah kedai kopi di No.6A, Lorong 2, Jalan Aman, bukan sahaja dapat menikmati makanan, malah anda akan dihiburkan dengan persambahan Mi Kampua ‘Terbang’.

Dengan aksi mi kampua ‘Terbang’ yang selalu tular di media-media sosial telah menjadikan gerai milik Tang Sing Kiong,61, dan isterinya,54,sangat popular bukan sahaja dalam kalangan penduduk bandar Sibu, malah pelancong dari Sabah, Semenanjung Malaysia dan negara Singapura.

Tang dan isterinya sambil dibantu oleh beberapa orang ahli keluarnya bekerja keras setiap hari untuk memenuhi pemintaan pelanggan mereka.

Menurutnya, menghasilkan mi kampua ‘Terbang’ memang ada tekniknya yang tersendiri dengan ia perlu dilakukan dengan teliti, kemas dan bersih.

“Apabila telah dimasak sepenuhnya dalam masa beberapa minit, pengayak digunakan untuk melambungkan mi kampua beberapa kali ke udara pada ketinggian 1.5 meter hingga 2 meter dari atas kepala.

“Tujuan melambungkan mi kampua ke udara adalah untuk mengalirkan air rebusan yang terdapat pada mi yang telah dimasak. 

“Selepas dilambung, mi menjadi kering dan menjadi lebih lazat apabila dimakan sambil dicampur dengan bahan-bahan,” jelasnya yang sudah 31 tahun menceburi perniagaan mi kampua.

Kelihatan ramai pelanggan yang sanggup menunggu giliran 15 minit hingga 20 minit untuk menunggu hidangan mi kampua mereka di gerai tersebut.

Kemahiran memasak mi kampua ‘Terbang’ kini telah diwarisi oleh isterinya yang juga tidak kurang hebatnya.

Semasa kunjungan pemberita ke gerai mereka, isteri Tang telah mempersembahkan teknik mi kampua ‘Terbang ‘. Beliau kelihatan sentiasa tersenyum sambil mempamerkan aksi bersahajanya melambungkan mi ke udara.

Kelihatan ramai pelanggan yang sanggup menunggu giliran 15 minit hingga 20 minit untuk menunggu hidangan mi kampua mereka di gerai tersebut.

Mi kampua adalah makanan tradisi masyarakat Foochow di Sibu, selain bandar-bandar berdekatan seperti Sarikei, Bintangor, Kanowit, Song dan Kapit. 

Hampir kesemua kedai kopi ada gerai menjual mi kampua dan sangat popular dalam kalangan masyarakat Cina dan Iban kerana mi kampua mengandungi campuran daging khinzir.

Bagaimanapun, hubungan dan kerjasama erat selain saling menghormati agama dan budaya antara masyarakat Cina dengan penduduk penduduk Islam, semua kandungan dalam resipi mi kampua sudah banyak ditukar dan halal dimakan.

Ia tidak mengubah keaslian rasa mi kampua ekoran ramai anak masyarakat Cina di Sarawak kini memeluk agama Islam dan berkahwin dengan pasangan Melayu dan Melanau.

Oleh AKUN GIMAN