650,000 permohonan moratorium bersasar diterima

Sebanyak 60 peratus daripada permohonan yang diluluskan itu telah memilih pengurangan bayaran ansuran bulanan dan merangkumi peminjam dengan pendapatan yang telah berku rangan.” — Datuk Abd Rahim Bakri

KUALA LUMPUR: Sejumlah 650,000 permohononan bagi moratorium bersasar telah diterima yang membabitkan kadar kelulusan sebanyak 98 peratus sejak dilaksanakan pada 1 Oktober lepas.

Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Abd Rahim Bakri berkata, daripada permohonan diluluskan itu, sebanyak 40 peratus membabitkan pelanjutan moratorium.

“Ini terutamanya melibatkan individu yang baru sahaja kehilangan pekerjaan serta terbabit dalam perniagaan sektor yang mungkin masih mengalami kekangan operasi ketara akibat pandemik Covid-19.

“Sebanyak 60 peratus daripada permohonan yang diluluskan itu telah memilih pengurangan bayaran ansuran bulanan dan merangkumi peminjam dengan pendapatan yang telah berkurangan,” katanya di persidangan Dewan Rakyat di sini, semalam.

Beliau menjawab pertanyaan Datuk Mohd Fasiah Mohd Fakeh (Bersatu-Sabak Bernam) mengenai langkah-langkah institusi perbankan untuk terus membantu isi rumah serta perniagaan yang memerlukan bantuan selepas moratorium berakhir pada 30 September 2020.

Selain itu, Abd Rahim berkata, kerajaan juga telah memberi moratorium ke atas pinjaman bank selama enam bulan secara pukal yang menjadi sebahagian daripada langkah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) untuk membantu meringankan beban rakyat dan perniagaan susulan kejutan pandemik berkenaan pada Mac 2020.

“Bagaimanapun, bermula 1 Oktober 2020 kerajaan telah melaksanakan moratorium secara bersasar khusus kepada individu dan isi rumah atau Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang kehilangan pekerjaan dan pendapatan terjejas sepanjang 2020 sehingga 2021,” kata beliau.

Abd Rahim menjelaskan, intipati moratorium bersasar yang bermula pada 1 Oktober 2020 itu melibatkan penangguhan bayaran balik pinjaman selama tiga bulan atau pengurangan bayaran ansuran bulanan yang sepadan dengan pengurangan pendapatan selama enam bulan.- Bernama