10 maut, Israel bedil Syria

MUSNAH… Keadaan bangunan di Syria yang runtuh akibat bedilan pesawat Israel, semalam. • Foto AFP

BAITULMAQDIS: Seramai 10 pejuang Syria terkorban dalam serangan pesawat Israel yang menyasarkan kepentingan Iran, antara lain disifatkan tindak balas susulan penemuan bahan letupan, berhampiran pangkalan di Bukit Golan.

Serangan udara itu dilakukan beberapa jam sebelum Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Mike Pompeo mendarat di Israel bagi rundingan termasuk berkaitan Iran, yang antara lain lawatan terakhirnya, sebelum Presiden Donald Trump meninggalkan pejabat.

Tentera Israel dalam kenyataan menjelaskan, jet pejuangnya semalam menyerang sasaran ketenteraan milik Pasukan Quds, Iran dan angkatan bersenjata Syria.

Pasukan elit Quds ialah cabang utama operasi luar Pengawal Revolusi Iran.

Katanya, sasaran itu termasuk kemudahan stor, ibu pejabat dan ruang ketenteraan selain ‘permukaan pelancar peluru berpandu Syria.

Agensi berita Syria, SANA, berkata serangan itu mengorbankan tiga askar, selain beberapa lagi cedera.

Kumpulan pemantau, Syria Observatory for Human Rights menjelaskan, 10 orang terbunuh, termasuk pejuang asing dan tentera Syria.

Pemantau berpangkalan di Britain itu berkata, orang asing terbabit termasuk lima pejuang mungkin berketurunan Iran dan tergolong dalam pasukan Quds serta dua pejuang pro-Iran tidak memiliki kewarganegaraan.

Israel melakukan ratusan serangan udara dan peluru berpandu ke Syria, sejak perang saudara meletus pada 2011 yang menyasarkan pasukan Hizbullah Iran dan Lubnan serta pasukan kerajaan.

Sementara itu, di Moscow pasukan Pertahanan Israel (IDF) mengesahkan pihaknya melancarkan serangan roket ke sasaran Tentera Al Quds Iran dan Angkatan Bersenjata Syria di Syria, lapor agensi berita Sputnik yang memetik tentera Israel di Twitter.

Terdahulu, agensi berita Syria, SANA melaporkan tentera Israel melepaskan tembakan roket pada awal Rabu dari arah Bukit Golan.

Pasukan pertahanan udara Syria menembak jatuh beberapa roket. Berikutan serangan itu, tiga tentera terbunuh dan seorang cedera.

“Apa yang dilakukan Iran dan Syria adalah meletakkan alat peledak yang ditambah baik oleh Alpha Line untuk meledak tentera Israel.

“Dan kami lakukan hanya menyerang sasaran Tentera Al Quds Iran dan Angkatan Bersenjata Syria di Syria.

“Kami bersiap sedia untuk menjalankan operasi menentang penguasaan Iran di Syria,” kata IDF.-AFP