MOTAC umum pelan pemulihan pelancongan

KUALA LUMPUR: Bagi merancakkan kembali sektor pelancongan yang terkesan akibat wabak pandemik Covid-19, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) mengumumkan pelan pemulihan pelancongan.

Menterinya, Dato’ Sri Nancy Shukri berkata terdapat tiga teras utama pelan pemulihan yang telah digariskan di bawah strategi pemulihan tersebut dijangka akan menyemarakkan semula pelancongan domestik.

Tiga teras tersebut ialah mengembalikan Keyakinan untuk Melancong, Menyemarakkan Pelancongan Domestik, dan Memaksimumkan Sumber Sedia Ada

“Program yang telah dikenal pasti untuk menggerakkan industri pelancongan tempatan adalah dengan melibatkan kerjasama dengan semua pemain industri. Antaranya ialah syarikat penerbangan,  pengangkutan dan badan bukan kerajaan dalam industri pelancongan seperti Persatuan Hotel Malaysia (MAH) dan Persatuan Hotel Bajet (MyBHA),” katanya.

Mekanisme yang dicadangkan merupakan pemberian baucar/diskaun/rebat tunai yang akan memberi manfaat secara terus kepada rakyat Malaysia.

Inisiatif ini merupakan salah satu usaha Kerajaan bagi meningkatkan penggunaan teknologi digital di kalangan rakyat melalui pembelian/tempahan atas talian, penggunaan aplikasi mobil dan penebusan e-baucar tunai.

Menurutnya lagi, MOTAC menyambut baik keputusan kerajaan yang telah membenarkan gelembung perjalanan domestik antara zon-zon hijau di Malaysia.

“Oleh itu, kita berharap rakyat akan mengambil peluang untuk melancong dengan selamat dan sentiasa mematuhi SOP di dalam norma baharu sepanjang perjalanan,” katanya.

Beliau juga menyeru pemain industri pelancongan supaya sentiasa menampilkan tawaran pakej menarik di samping menjaga SOP dengan norma baharu bagi memastikan kelestarian ekonomi pelancongan yang merupakan salah satu penyumbang besar ekonomi negara.

Program serta inisiatif yang telah dirangka diharap dapat membantu menaikkan semula sektor pelancongan domestik dengan kerjasama dari setiap pihak industri pelancongan tempatan ke arah pemulihan dan kemajuan ekonomi negara. 

MOTAC melalui Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia akan menggerakkan pelan pemulihan pelancongan tersebut melalui Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) dengan melibatkan kerjasama penggiat-penggiat industri pelancongan negara. 

Oleh ASYRAF HALIM