Pelajar teruja dapat pulang ke kampung

Kelihatan para pelajar mengamalkan penjarakan sosial satu meter semasa beratur untuk menaiki bas ketika Proses Penghantaran Pulang Pelajar IPT ke Kampung Halaman di Dewan Tuanku Canselor Universiti Malaya semalam. – Foto BERNAMA

NILAI: Setelah hampir dua bulan terkandas di kampus berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), awal pagi semalam merupakan detik amat ditunggu-tunggu sekumpulan 11 pelajar perubatan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) untuk bertemu dan menyambut Ramadan bersama keluarga.

Kesemua mereka yang pulang ke kampung halaman di Kedah dan Pulau Pinang tiba di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Kedah, Kedah pada jam 5.20 pagi selepas menempuh perjalanan selama enam jam dari Kampus USIM di Pandan Indah, Kuala Lumpur.

Nurul Ilham Huda Redzuan, 19, berkata, beliau amat merindui untuk menikmati masakan ibunya, lemak rebung yang akan dijadikan sebagai sajian berbuka puasa.

“Perasaan amat gembira apabila melihat ayah sedia menunggu di IPD untuk bawa saya pulang ke rumah. Saya amat berterima kasih kepada kerajaan dan semua pihak yang bertungkus lumus menguruskan perjalanan pulang kami semua dengan selamat,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan Pusat Komunikasi Strategik USIM, di sini semalam.

 Berkongsi perasaan sama, Sharifah Nahidhah Syed Ibrahim, 22, yang teruja dan gembira tiba di kampung halaman berkata, dalam masa yang sama beliau turut bersedih memandangkan terdapat beberapa rakannya masih menunggu giliran untuk pulang ke kampung halaman masing-masing.

“Saya berharap mereka juga akan dapat pulang sedikit masa lagi,” katanya.

Mohamad Akmal Arif Zainol, 22, pula berkata, pengalaman pulang ke kampung halaman di Kubor Panjang, Pendang, kali ini amat berlainan sama sekali, dan akan dikenang seumur hidup.

Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) USIM dalam kenyataan sama turut meminta pelajar yang menunggu giliran untuk pulang supaya bersabar serta sentiasa peka dengan sebarang pengumuman daripada pihak universiti dan kerajaan berkaitan proses penghantaran pulang pelajar.

“Kumpulan ini dijangka pulang pada Khamis ini yang melibatkan pergerakan ke negeri sebelah selatan seperti Negeri Sembilan, Melaka dan Johor,” menurut kenyataan itu. – BERNAMA