Lima pasukan buru juara

ALFRED mempengerusikan mesyuarat bersama pengurus-pengurus pasukan dan cabutan undi di Kompleks Sukan Sri Aman semalam.

SEBANYAK lima pasukan akan berentap pada saingan Liga Veteran Sri Aman 2020 bagi merebut Piala Datuk Francis Harden Hollis yang akan membuka tirainya esok.

Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Sepak Bahagian Sri Aman (FASA) merangkap Pengerusi penganjur, Alfred Kendim berkata pihaknya telah menerima penyertaan yang menggalakkan daripada pasukan-pasukan yang menyertai pertandingan meskipun sasaran yang telah ditetapkan tidak tercapai.

Katanya, Liga Veteran Sri Aman 2020 adalah anjuran FASA dan semua perlawanan akan diadakan di Kompleks Sukan Sri Aman.

“Saingan Veteran Sri Aman 2020 ini dijalankan secara liga satu pusingan sahaja bermula Sabtu ini dan dijangka perlawanan akhir akan berlangsung pada 6 Disember nanti.

“Lima pasukan yang akan berentap iaitu Datus FC, Saberkas Simanggang, Veteran Pan Borneo, Nanang Enterprise FC dan juga pasukan Marr Reds dari bahagian Serian sebagai pasukan jemputan.

“Namun pasukan All StarsBet telah mengesahkan untuk menarik diri di saat akhir daripada saingan liga ini,” katanya semasa mempengerusikan mesyuarat bersama pengurus-pengurus pasukan dan cabutan undi di Kompleks Sukan Sri Aman semalam.

Alfred berkata, pertandingan yang dianjurkan ini adalah memberi peluang kepada pemain-pemain yang berusia 40 tahun keatas beraksi selain pentas mengeratkan hubungan silaturahim di kalangan pasukan yang menyertai.

Liga Veteran Sri Aman 2020 bagi merebut Piala Datuk Francis Harden Hollis menawarkan hadiah lumayan dengan sang juara membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM2,000, piala, naib juara RM1,500, piala, tempat ketiga pula mendapat hadiah wang tunai RM1,000 dan piala.

Manakala tempat keempat dan kelima pula masing-masing mendapat hadiah wang tunai sebanyak RM250.

Dalam pada itu, sepak mula saingan Liga Veteran Sri Aman 2020 akan disempurnakan oleh Menteri Muda Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Francis Harden Hollis pada Sabtu ini, jam 3.45 petang di Kompleks Sukan Sri Aman.

Oleh ADI SAFARMAN