Manfaatkan ilmu pengetahuan

SIJIL PENYERTAAN… Datu Len Talif Salleh menyampaikan sijil penyertaan kepada peserta program Bomba Komuniti di Dewan Serbaguna Jerijeh, petang semalam.

TANJUNG MANIS: Pasukan Bomba Komuniti N41 Kuala Rajang diharapkan dapat memanfaatkan ilmu pengetahuan berkenaan pencegahan dan keselamatan kebakaran untuk kegunaan individu, keluarga dan juga komuniti mereka sendiri.

Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datu Len Talif Salleh berkata, Bomba Komuniti yang dilancarkan pada 2014 merupakan inisiatif Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dalam meningkatkan tahap kesedaran kes kebakaran dalam kalangan masyarakat di samping memberi peluang kepada masyarakat setempat untuk turut sama memadam kebakaran dan memupuk semangat kekitaan dan perpaduan antara masyarakat dan bomba.

“Ia menjadi hasrat kerajaan untuk merayakan perkhidmatan agar penduduk dan rakyat juga memainkan peranan penting memastikan perkhidmatan kerajaan sampai ke kumpulan sasar.

“Di bawah JBPM Negeri Sarawak, produk bomba komuniti, Celik Sedia Urus Risiko Isirumah (SURI) dan Fire Point diperkenalkan sebagai seorang individu dalam masyarakat yang bergabung untuk memberi pendidikan berkaitan keselamatan kebakaran kepada orang awam dan perkhidmatan pemeriksaan keselamatan kebakaran bagi mencegah atau mengurangkan kemungkinan kebakaran yang boleh menyebabkan kematian, kecederaan atau kerosakan harta benda,” katanya.

Beliau yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N41 Kuala Rajang berkata demikian ketika berucap di Majlis Penutupan Bomba Komuniti DUN N41 di Dewan Serbaguna Jerijeh, petang semalam.

Katanya, melalui program sebegini, diharapkan peserta yang mendapat ilmu kebombaan ini dapat membantu masyarakat yang lain dalam menghadapi apa-apa kecemasan yang berlaku di kampung masing-masing.

“Saya berharap agar program sebegini akan terus aktif dan penubuhan yang berlanjutan ke generasi seterusnya.

“Ini kerana melalui program sebegini bukan sahaja menjadi media bersosial bahkan memberi manfaat kepada masyarakat setempat khasnya dalam bertindak ke atas kecemasan,” ujarnya.

Turut hadir Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sarawak, PKPjB Khirudin Drahman @ Husaini, Penolong Pengarah Bahagian Keselamatan Kebakaran, PgKB I Mohamad Fauzi Mohd Kifli, Ketua Zon 4 Sarawak, PgKB Janggan Muling dan Pegawai Daerah Tanjung Manis, Udin Bujang.

Oleh EARL ANEK