FINAS santuni veteran seni Sarawak

SUMBANGAN … Pelawak dan pelakon drama radio, Dato’ Yepni Adenan menerima sumbangan daripada Dato’ Norhayati Ismail, disaksikan Nazrul dan wakil Global Ikhwan Sdn Bhd Holding (GISBH), Syahid Khairul Anuar iaitu rakan strategik program.

KUCHING: Perbadanan Kemajuan Filem Malaysia (FINAS) Cawangan Sarawak komited dalam usaha menjejak para penggiat seni di negeri ini terutamanya golongan veteran untuk dihulurkan bantuan di bawah Program FINAS Prihatin.

Ahli Perbadanan FINAS, Dato’ Norhayati Ismail berkata, program ini adalah bagi meringankan beban para penggiat industri seni yang mengalami masalAH kesihatan, keuzuran dan terputus pendapatan akibat penularan pandemik Covid-19 ini.

“Atas dasar keprihatinan dan penghargaan ke atas jasa penggiat seni tanah air, kita (FINAS) melalui program ini mempunyai misi utama untuk memberikan sumbangan bantuan kepada para pemain industri di seluruh negara bagi meringankan beban mereka, katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengunjungi kediaman pelawak dan pelakon drama radio veteran terkenal tempatan, Dato’ Yepni Adenan, menerusi Program FINAS Prihatin 2.0 di kediamannya di Lorong 4, Jalan Cendrawasih di sini, semalam.

Menurut beliau, bantuan yang dihulurkan oleh FINAS bagi membantu golongan ini termasuk berbentuk wang tunai adalah bertujuan untuk menunaikan tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka di seluruh negara.

“Sepanjang dua kali program FINAS Prihatin ini berlangsung, seramai 10 orang pengiat seni di Sarawak telah menerima bantuan CSR ini, setakat ini,” tambahnya.

Jelas Norhyati lagi, tidak dinafikan pihaknya turut menghadapi kesulitan untuk mengesan para penggiat seni veteran ini kerana sebahagian daripada mereka sudah bertukar alamat ataupun berpindah, dan ada yang sukar untuk dihubungi.

“Sehingga kini, kita masih giat mengumpul maklumat terkini para penggiat seni di Sarawak, termasuk pelakon, pelawak, penulis skrip, jurukamera, dan mereka yang terlibat sama ada secara langsung atau tidak dalam industri ini.

“Ekoran daripada kekurangan maklumat yang terkini mengenai keberadaan mereka, maka ia akan memakan masa sedikit,” katanya sambil menyeru pihak yang mempunyai maklumat berkaitan untuk menghubungi pihak FINAS untuk memudahkan proses pengesanan.

Mengulas lebih lanjut mengenai program ini, beliau berkata inisiatif ini adalah langkah murni di bawah tanggungjawab FINAS di seluruh negara menerusi kerjasama dengan rakan strategik yang terpilih, mengikut kawasan (negeri) masing-masing.

“Untuk Program FINAS Prihatin di negeri ini, ia adalah di bawah kendalian Jawatankuasa Hal Ehwal Warga Industri Kebajikan dan Data Industri bersama Jawatankuasa Pembangunan Industri Sarawak.

“Ini baru kali kedua (berlangsung), mungkin sebelum ini menggunakan nama lain, tapi saya yakin FINAS sentiasa prihatin akan kebajikan para penggiat seni tanah air,” katanya sambil menegaskan bahawa beliau akan memastikan program ini akan diteruskan pada masa hadapan.

Sementara itu, Dato’ Yepni yang ditemui dalam program tersebut telah menzahirkan rasa syukur dan terharu dengan kunjungan FINAS Cawangan Sarawak yang dianggap sebagai satu penghargaan kepadanya.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada FINAS kerana prihatin terhadap artis yang sudah tidak lagi aktif dalam industri, apatah lagi ketika pandemik Covid-19 ini, ramai yang susah (terjejas).

“Sesiapa (mana-mana pihak) pun pasti akan rasa terharu kalau ada orang yang masih ingat dekat kita,” katanya ketika menerima sumbangan berbentuk wang tunai dan barangan keperluan dari FINAS.

Selain daripada Yepni, Nohyati turut mengunjungi kediaman empat lagi penggiat industri kreatif di negeri ini menerusi program ini iaitu Rogayah Busrah, Ali Muhamad, Luli Gagat dan Esther Bayang.

Oleh AKMAL ADIB YUSUP