Datus United menang lagi

AWANG Putra Yusri bersama jurulatih Datus United, Sufi an Ibrahim memberi penerangan kepada pemain semasa perlawanan menentang Veteran Pan Borneo pagi semalam.

PENGURUS Pasukan Datus United, Awang Putra Yusri Awang Redzuan memuji karektor hebat dipamer anak-anak buahnya menerusi kemenangan 4-1 ke atas Veteran Pan Borneo pada kempen Liga Veteran Sri Aman 2020 Piala Datuk Francis Harden Hollis di Kompleks Sukan Sri Aman pagi semalam.

Menurut Awang Putra Yusri, kecemerlangan aksi diterjemahkan pemainnya bukan sahaja memuktamad tiga mata berharga milik Datus United, malah lebih membanggakan apabila berjaya mengekalkan kecemerlangan meraih kemenangan berterusan.

“Syabas kepada semua pemain kerana telah berjaya memastikan kemenangan kedua dengan tiga mata seterusnya yang begitu berharga.

Pelan yang dirancang ketua jurulatih, Sufian Ibrahim begitu menjadi.

“Memang sepanjang saingan mereka ditekan hebat pasukan lawan, namun berjaya mengatasinya hingga keputusan muktamad memihak kepada kami,” jelas Awang Putra Yusri ketika mengulas kejayaan pasukannya.

Beliau turut menghala pujian kepada dua ‘playmaker’ Ramos Sari dan Ramles Sari menerusi kebijaksanaannya merencanakan setiap pergerakan sehingga melumpuhkan strategi pihak lawan untuk terus mara pada sepanjang perlawanan itu.

Dalam pada itu, pemain gantian Awang Husaine Awang Dolhan menjadi wira pasukan apabila berjaya meledak dua gol pada minit ke-52 dan minit ke-60 sambil dua gol lagi masing-masing dijaringkan Rockeffller Sullau, minit-18 dan Ramos Sari pada minit ke-58.

Bagi Awang Putra Yusri, kecemerlangan ditampilkan anak-anak buahnya sepanjang tempoh aksi semalam diharap mampu berterusan kerana dilihat sebagai ‘tonik’ kepada meraih tiga mata penuh pada perlawanan.

Beliau turut memuji peningkatan prestasi pemainnya yang begitu ketara berbanding perlawanan pertama sebelumnya ketika menentang Marr Reds dari Serian.

“Peranan dimainkan oleh tonggak utama pasukan, gandingan kembar Sari Ramos dan Ramles serta gandingan tengah mantap di bahagian pertahanan iaitu ketua pasukan Abang Yahya Abang Sulaiman, Awang Sarbini Awang Morshidi di sepanjang saingan berjaya menghadirkan tekanan kepada pasukan lawan.

“Saya percaya, pemain-pemain tersebut mampu mengekalkan aksi terbaiknya selepas ini,” jelasnya lagi.

Oleh ADI SAFARMAN