Keputusan bekal Raspberry Pi disambut baik

SECARA asasnya siri 400, Raspberry Pi adalah mesra pengguna.

KUCHING: Ahli Parlimen (MP) Sibuti Lukanisman Awang Sauni mengalu-alukan keputusan Kerajaan Sarawak untuk membekalkan Raspberry Pi kepada sekolah di seluruh Sarawak.

Menurut beliau, inisiatif ini mampu untuk memberi ruang yang besar kepada kanak-kanak untuk menerokai imaginasi dan mengalihkan idea mereka kepada penggunaan teknologi terkini.
“Baru-baru ini Kerajaan Sarawak telah mengumumkan akan membuat pembelian sebanyak 10,100 unit komputer berasaskan Raspberry Pi kepada 1,265 sekolah di seluruh Sarawak.
“Saya berasa sangat teruja kerana ia berpotensi tinggi dalam meningkatkan kemahiran teknikal dan kreativiti di peringkat awal kanak-kanak lagi,” katanya, menerusi perkongsian beliau di laman media sosial Facebook, baru-baru ini.
Lukanisman berkata, beliau tidak menafikan terdapat sedikit kegusaran kepada penerimaan orang ramai yang sudah terbiasa dengan sistem pengoperasian (OS) Microsoft dan komputer peribadi yang biasa.

Walaubagaimanapun, beliau yakin Raspberry Pi akan membuka lembaran yang baharu dalam misi penerokaan kemahiran pengekodan (coding skills), Internet-Of-Things (IOT), robotik dan sistem rangkaian di peringkat awal persekolahan.

“Ini masih tergantung dengan daya kekuatan capaian internet di sekolah, tetapi saya merasakan kanak-kanak akan menikmati sesi pembelajaran yang lebih interaktif, khususnya dalam menerokai ilmu teknologi yang baharu.

“Melalaui inisiatif ini, kanak-kanak akan lebih terdedah dengan kemahiran berasaskan IOT, dan mampu untuk membuat program komputer yang dapat membantu dalam kerja pertanian,” jelasnya lagi.

Dalam hal berkaitan, Lukanisman turut memaklumkan bahawa beliau telah menghubungi Menteri Muda Pendidikan, Sains, dan Penyelidikan Teknologi Sarawak Dr. Annuar Rapaee bagi mendapatkan penerangan ringkas dan pandangan kementerian tersebut berkenaan pembelian Raspberry Pi ini.

Hasil daripada penerangan tersebut, beliau yakin dan jelas dengan pelan perancangan yang di bawa oleh Kerajaan Negeri dalam memajukan negeri ini yang bermula dari peringkat persekolahan.

Sementara itu, beliau telah mengambil inisiatif sendiri untuk membeli dan merasai pengalaman menggunakan Raspberry Pi tersebut.

“Saya sendiri telah meluangkan masa untuk mencuba Raspberry Pi 400 yang berharga RM365, dan secara asasnya saya boleh katakan siri 400 ini adalah mesra pengguna.

“Tiada persediaan (set up) yang rumit, cuma pengguna perlu memuatnaik beberapa kemaskini perisian tersebut, dan paling penting, Raspberry Pi turut dapat memproses perisian asas seperti Word dan Excel daripada perisian LibreOffice,” jelasnya lagi.

Oleh AKMAL ADIB YUSUP