Kumpul patung figura jadi hobi Luqman

LUQMAN Harith (kiri) menyertai perhimpunan pengumpul mainan di pusat beli-belah Vivacity.

Patung figura aksi merupakan patung kecil yang diambil daripada watak-watak animasi daripada filem, komik mahupun permainan video dan antara patung figura aksi yang terkenal ialah Gundam, One Piece, Dragon Ball dan banyak lagi animasi yang terkenal.

 Patung figura aksi ini diperbuat daripada pelbagai material seperti tanah liat, plastik, aluminium dan beberapa jenis bahan lagi.

Meskipun sasaran utama produk ini adalah untuk kanak-kanak, namun ia telah mendapat penerimaan luas oleh sesetengah orang dewasa yang menjadikan pengumpulan patung figura aksi ini sebagai hobi.

Agak pelik mengapa sesetengah orang dewasa terutama lelaki begitu gemar mengumpul patung aksi figura sedangkan ia merupakan permainan kanak-kanak.

Namun menurut sesetengah pengumpul mainan, ia merupakan harta karun yang mempunyai nilai estetika dan sentimental nostalgia zaman kanak-kanak di mana rata-rata menyatakan bahawa hobi ini dapat direalisasi setelah mereka mempunyai pekerjaan yang stabil.

Salah seorang pengumpul, Mohd Luqman Harith Mustapha yang berusia 23 tahun menyatakan bahawa hobinya ini bermula sejak bangku sekolah lagi, namun tidak terfikir atau tergerak hati untuk mula mengumpul.

Beliau mula mengumpul apabila terbeli satu set Lego ketika bekerja sambilan dan mulai ketagih untuk meneruskan mengumpul set yang lain sehingga kini.

“Saya rasa, hobi saya ini mampu untuk hilangkan tekanan selain ia menjadi tempat untuk saya luangkan masa dan tenangkan fikiran dengan merenung puas ke arah koleksi saya.”

“Setakat ini Lego merupakan antara koleksi yang paling saya gemari dan majoriti koleksi saya adalah daripada Lego dan yang kedua adalah Model Gundam,” jelasnya yang memilih minat ini kerana seni yang lebih teknikal.

Beliau juga menyatakan bahawa pengumpul-pengumpul tempatan sering mengadakan perhimpunan di Kuching untuk menjalankan pameran terbuka di kompleks beli belah.

“Melalui perhimpunan ini, saya mula mengenali ramai pengumpul tempatan dari Kuching dan berkongsi koleksi masing-masing selain memperoleh pengetahuan tambahan daripada ‘otai-otai’ pengumpul.

“Kita dapat bersosial dan bercakap mengenai sejarah patung figura aksi dan ini merupakan satu aktiviti yang amat sihat,” katanya.

Dianggarkan, beliau telah menghabiskan lebih daripada RM2,000 ke atas semua koleksi-koleksi patung figura aksi.

Oleh ASYRAF HALIM