KELADI TIKUS jadi buruan penggemar bunga

CALADIUM bicolor ‘Thai Beauty’.

KELADI Tikus sejenis tumbuhan meliar dari keluarga Araceae dengan nama saintifiknya Typhonium Flagelliforme (Lodd) Blume) dan tergolong dalam genetik Typhonium masih terdapat ramai yang tidak tahu tentang keistimewaannya terutama dalam kesihatan tubuh badan.

Keladi tikus ini merupakan tanaman semak jenis talas hanya tumbuh dengan ketinggian 25cm hingga 30cm sahaja dan memilih tempat lembab berpaya untuk tumbuh.

Daunnya berbentuk seperti jantung, tumbuh dari ubi dan berwarna hijau segar dan dapat dijumpai di kebanyakan titik lembab di Malaysia dan beberapa buah negara di Asia Tenggara.

Keseluruhan bahagian tumbuhan ini mempunyai khasiat dalam merawat beberapa jenis penyakit.

KHASIAT

Di antara khasiat herba ini adalah bagus untuk rawatan penyakit barah seperti penyakit barah payu dara, paru-paru, rektum, hati, prostat, pangkal rahim, buah pinggang serta bermacam jenis kanser lagi.

Keladi tikus dapat membunuh sel-sel barah dan membaiki semula sel yang telah rosak akibat kemoterapi serta herba ini bersifat antivirus dan antibakteria.

Serbuk yang dilumatkan dari pokok ini mampu merencatkan ketumbuhan kanser dan membantu mengurangkan kesan sampingan rawatan kemoterapi.

Sebelum penemuan terbaru ini, herba tanaman ini telah lama digunakan dalam rawatan kecederaan dalaman dan bengkak dalaman yang menyebabkan pengumpulan cecair pada sel sel dan tisu dalaman.

Batang tanaman ini (Rhizome) secara tradisional digunakan sebagai ubat batuk dan untuk penyakit paru-paru.

Penemuan ini adalah sangat penting bagi kelangsungan kajian yang seterusnya, walaupun tumbuhan Keladi tikus ini berasal daripada Asia Tenggara namun pengkaji dari Eropah lebih berminat untuk mengkaji secara lebih mendalam kelebihan yang ada pada tumbuhan ini.

Ini menunjukkan kita masih lagi jauh ketinggalan di dalam konteks mencari rawatan pelengkap berasaskan bahan semula jadi berbanding negara maju yang berlumba-lumba mencari solusi dan tidak hanya bergantung kepada satu kaedah rawatan semata-mata.

Bagi pesakit kanser, herba keladi tikus perlu diamalkan sekurang-kurangnya setahun bagi melihat hasilnya.

ANCAMAN

Herba Keladi tikus tidak terlepas daripada mempunyai musuh yang tersendiri, biasanya berhadapan dengan serangan makhluk perosak seperti beluncas yang akan memakan keseluruhan pokok bermula daripada daun sehingga ke batang.

Beluncas ini datang daripada spesis rama-rama jenis Manduca sexta (Tobacco Hornworm) dan juga Deilephila elpenor (Elephant Hawk-moth).

Masih belum dikenalpasti kaedah pencegahan yang terbaik bagi mengatasi serangan daripada serangga perosak ini namun kaedah tradisional seperti cari dan kutip secara manual merupakan kaedah yang sering diamalkan bagi mengekalkan keaslian yang ada pada herba Keladi tikus ini tanpa menggunakan sebarang racun perosak.

Oleh ADUM LIU