Program Pembaharuan Bandar untuk rumah pangsa

TINJAU… Tan Sri Annuar Musa (dua, kanan) beramah mesra dengan penerima bantuan Mohd Radzi Mohd Noh (kiri) ketika meninjau keadaan penduduk yang dilaporkan dalam keadaan daif di Blok C Flat Taman Segar Jalan Persiaran Lemak, Taman Segar Cheras semalam. • Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Kementerian Wilayah Persekutuan akan melaksanakan Program Pembaharuan Bandar di semua rumah pangsa yang mencecah usia 40 tahun, termasuk rumah pangsa persendirian yang dibangunkan pemaju swasta. 

Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa berkata, unit kediaman rumah pangsa yang tidak sesuai diduduki, bersaiz kecil dan struktur lama akan dibina semula dengan pelbagai kemudahan dan kelengkapan sesuai.

Beliau berkata, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah menyiapkan satu garis panduan dasar di mana kawasan bangunan usang, lama, buruk, kecil dan sesak untuk dibangunkan semula di bawah Program Pembaharuan Bandar. 

“Beberapa garis panduan telah siap untuk memberikan galakan dan membantu sektor swasta bersama-sama DBKL dalam usaha ini. Kawasan yang dikenal pasti akan dirobohkan dan dibina semula dengan syarat perlu mendapat persetujuan daripada pemilik asal,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau kawasan serta menghadiri Program Penyerahan Bantuan Makanan dan Pelitup Muka kepada penduduk di Blok C Flat Taman Segar Jalan Persiaran Lemak, Taman Segar Cheras, semalam.
 
Annuar berkata, dasar baharu itu akan berjalan seiring dengan pembangunan rumah pangsa yang dimiliki DBKL. 

“Semua ini termasuk di Seri Perlis di Keramat, Sri Labuan dan juga Sri Negeri Sembilan untuk kita bina semula supaya tiap-tiap pemilik akan mendapat rumah yang baru dengan keluasan 750 hingga 800 kaki persegi, tiga bilik, lengkap dengan segala kemudahan seperti kondominium biasa.

“Ini kami harap akan memberikan satu kelegaan kepada pemilik apartmen lama,” katanya. 

Annuar berkata, garis panduan itu telah siap dan mendapat kelulusan jawatankuasa eksekutif peringkat kementerian. — Bernama