Teruja beraksi bersama ‘legenda’

RAZI menyampaikan cenderamata kepada Ramos Sari dan Ramles Sari setelah beraksi dalam perlawanan persahabatan di Debak semalam.

“TIDAK terlintas difikiran saya selama ini untuk bermain bola sepak bersama-sama bekas pemain Sarawak dan Malaysia,” tegas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Saribas,Mohamad Razi Sitam.

Semalam, satu perlawanan persahabatan antara pasukan tuan rumah, Debak Veteran Team (DVT) menentang pasukan juara Liga Veteran Sri Aman 2020, Datus United berlangsung di Padang Bola Sepak Riveria Sports Centre Debak.

Aksi persahabatan itu berkesudahan dengan keputusan memihak kepada Datus United dengan jaringan 3-0.

Datus United dari Simanggang diperkuatkan pemain legenda bola sepak Bujang Senang dan Malaysia, Ramles dan Ramos Sari. Selain itu, turut diperkuatkan dua lagi bekas pemain Sarawak, Abang Yahya Abang Sulaiman dan Rockeffller Sullau.

Razi yang juga Pengurus pasukan DVT berkata, kehadiran beberapa bekas pemain negeri yang pernah mengharumkan nama Sarawak satu ketika dahulu beraksi di Debak semalam, adalah menjadi pencetus serta titik permulaan kegemilangan bola sepak di Dewan Undangan Negeri (DUN) Saribas.

“Kita berasa berbangga kerana peminat serta penduduk di kawasan Debak berpeluang menyaksikan kehadiran bekas pemain Sarawak dan Malaysia beraksi semula.

“Lebih menarik, apabila saya sendiri tidak pernah terlintas difikiran untuk bermain bersama-sama bekas pemain Sarawak dan Malaysia seperti le genda Bujang Senang, Ramos dan Ramles Sari,” katanya.

Beliau turut merakamkan terima kasih kepada pengurusan Datus United kerana telah sanggup bertandang ke Daerah Debak bagi mengadakan perlawanan persahabatan itu.

Dalam pada itu, Pengurus Datus United, Awang Putra Yusri Awang Redzuan berkata, selepas merangkul gelaran kejuaraan Liga Veteran Sri Aman 2020, pihaknya telah mendapat jemputan daripada beberapa pasukan untuk mengadakan aksi persahabatan.

“Selepas kejayaan Datus United menjuarai Liga Veteran Sri Aman 2020 baru-baru ini,kami telah mendapat undangan daripada beberapa pasukan terutamanya Debak,Kuching dan Beladin bagi mengadakan perlawanan persahabatan di kawasan mereka,”jelasnya.

Oleh ADI SAFARMAN